Buletin

VOLVO XC90 FACELIFT – BERMULA RM373,888 SEUNIT

Volvo Car Malaysia hari ini memperkenalkan XC90 facelift ke pasaran tempatan.

Mula dijual pada November, ia merupakan model utama VCM dalam mengetengahkan strategi elektrifikasi yang mantap.

Volvo XC90 menerima penambahbaikan dari segi luara seperti rim, warna dan gril baharu. Sementara rekaan dalamannya tidak berubah.

Untuk model T8, kemampuan bateri telah ditambah baik daripada 10.4kWh kepada 11.6kWh. Sekali gus meningkatkan jarak pemanduan elektrik sehingga 50km. Ia kini dilengkapi tuil gear elektronik kristal Orrefors yang direka semula.

Model T5 pula hadir bersama penyaman udara tiga baris dengan lubang udara berbentuk C, sistem maklumat  penanda jalan (RSI) dan kawalan suhu elektronik 4-zon yang sebelum ini hanya boleh didapati pada model T8.

Berdasarkan platform, rangkaian kuasa dan teknologi keselamatan yang dibangunkan dan dimiliki oleh Volvo, XC90 keluaran tahun 2015 menjadi  permulaan kepada transformasi Volvo Car.

Ia memperkenalkan wajah baharu jenama Volvo dengan ciri lampu hadapan Thor Hammer dan platform Scalable Product Architecture (SPA).

Teknologi dan inovasi pertama di dunia itu kemudian dipasang pada model-model lain seperti siri 90 dan 60 antara tahun 2015 hingga 2019, kemudiannya turut digunapakai untuk XC90.

Hasilnya model SUV utama ini menjadi bertambah baik sejak ia pertama kali diperkenalkan, sehingga mencapai 320,000 unit jualan di seluruh dunia. 

Dari segi teknologi keselamatannya aktif, XC90 kini menawarkan bantuan pemanduan untuk City Safety dan Blind Spot Information System. City Safety dengan brek auto merupakan satu-satunya sistem di pasaran yang mampu mengenal pasti pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar.

Sistem Oncoming Lane Mitigation pula diperkenalkan pertama kali untuk model XC60 kini boleh didapati untuk model XC90. Manakala teknologi Cross Traffic Alert kini dilengkapi dengan brek auto. 

Semua ini digabungkan dengan ruang keselamatan yang membentuk teras utama teknologi keselamatan pasif, menjadikan XC90 sebagai salah sebuah kereta paling selamat di atas jalan raya.

Sistem infotainment Sensus yang dikemas kini menawarkan ciri Apple Carplay, Android Auto dan perkhidmatan penstriman Spotify Music.

Volvo XC90 facelift boleh didapati pada harga bermula RM373,888 (harga atas jalan, tanpa insurans, termasuk cukai jualan dan duti eksais).   Pelanggan boleh memilih lima warna  iaitu putih mutiara, biru, hitam dan kelabu metalik.

Tags
Google ads
Back to top button