Buletin

VW TIGUAN ALLSPACE LIFE. 1.4TSI, CKD PEKAN, BERMULA RM173K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini  memperkenalkan Tiguan Allspace Life baharu. Ditawarkan pada harga RM172,990, ia melengkapkan pengenalan tiga model Tiguan Allspace di Malaysia.

Sebagai sebuah model asas dalam siri SUV berkenaan, Life padat dengan ciri yang menjadikannya sebuah SUV moden.

Kelebihannya sebagai jentera dengan ruang dalaman luas tidak berubah. Ia tetap hadir bersama konfigurasi tujuh tempat duduk dan mampu menawarkan ruang but sehingga 1,775 liter yang mendahului kelasnya.

Secara visualnya, Life berkongsi rekaan yang tajam dan dinamik seperti varian lain. Ini termasuklah gril hadapan dengan jalur lampu di antara lampu utama LED yang menjadi rekaan signatur Volkswagen.

Elemen-elemen lain termasuklah kemasan Allspace, perumah cermin sisi berwarna perak, perkataan ‘Tiguan’ di bahagian belakang dan rim aloi Frankfurt bersaiz 18 inci.

Pelanggan boleh mengharapkan ruang dalaman Life yang mewah dan penuh fungsi, sama seperti model Volkswagen lain.

Antara ciri standard ialah sistem infohibur Discover Pro bersaiz 9.2” dengan ketersambungan aplikasi tanpa wayar, sistem navigasi, kawalan suara, pendingin hawa Climatronic 3 zon dan stereng sport multi-fungsi dibalut kulit.

Life dikuasakan oleh enjin turbo 1.4TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm yang dipadankan dengan kotak gear DSG 6-kelajuan. Gabungan itu menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan serta penjimatan bahan api sekitar 7.7l/100km.

“Tiguan Allspace memainkan peranan penting dalam portfolio kami. Jadi, kami berbesar hati untuk menawarkan rangkaian penuhnya ke Malaysia.

“Dengan Life, kami menawarkan sebuah SUV berprestasi tinggi yang akan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan. Ia juga boleh menjadi pilihan ideal untuk keluarga muda yang ingin membeli kenderaan mereka,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

Aspek keselamatan diutamakan menerusi enam beg udara, Kawalan Kestabilan elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), brek Multi-Pelanggaran, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Brek Parkir Elektronik (EPB). Sistem Lane Assist dan Driver Alert turut disediakan.

Model pemasangan tempatan (CKD) itu didatangkan dalam lima warna dan dua kemasan. Warna metalik terdiri daripada warna biru, kelabu dan perak. Manakala warna dengan efek mutiara ialah hitam dan putih. Warna dengan efek mutiara ditawarkan tanpa caj tambahan.

Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layarihttps://www.volkswagen.com.my/

Google ads
Back to top button