Buletin

WAGON COROLLA FIELDER, SEDAN COROLLA AXIO 2022 DIPERKENAL DI JEPUN

Toyota Corolla merupakan kereta penumpang terkenal dan ayam tambatan Toyota sejak puluhan tahun lalu. Selain Corolla yang biasa kita lihat, ada sebuah lagi Corolla dibuat khusus untuk Jepun dan turut dijual di beberapa pasaran seperti Hong Kong, New Zealand dan Singapura.

Corolla global jauh berbeza dengan model Jepun dan dikenali sebagai Corolla Fielder (wagon) dan Corolla Axio (sedan) dan dibangunkan dari platform Toyota B.

Corolla Fielder dan Axio dijual sejak tahun 2012 lagi dan telah melalui beberapa perubahan iaitu pada tahun 2015, 2017 dan 2019 termasuk pengenalan nadi hibrid.

Terbaru Toyota memperkenalkan Corolla Fielder dan Corolla Axio 2022 dengan perubahan ringkas pada bahagian luar dan dalam.

Reka bentuk luar masih sama kecuali penggunaan lampu depan projektor jenis LED dengan fungsi pelarasan manual sebagai ciri standard.

Sistem penyaman udara pula dilengkapi teknologi Nanoe X untuk pengudaraan yang lebih selamat.

Di sebelah tuil brek parkir ada slot untuk meletak telefon pintar dan terminal USB Type C untuk pengecasan.

Toyota Corolla Fielder EX 2022

Lagi perubahan ialah balutan kerusi dengan rekaan baharu untuk imej moden dan berkualiti tinggi.

Menggerakkan Corolla Fielder dan Corolla Axio ialah enjin hibrid 1.5 liter 1NZ-FXE VVT-i berkuasa 74 ps pada 4,800 rpm dan tork 111 Nm dari 3,600 hingga 4,400 rpm.

Motor elektrik 1LM berkuasa 45 kW (61 ps) dan tork 169 Nm. Model hibrid hanya menggunakan pacuan dua roda depan (2WD).

Satu lagi pilihan ialah enjin 1.5 liter 2NR-FKE VVT-iE dengan pacuan 2WD dan pilihan transmisi Super CVT-i atau manual lima kelajuan.

Enjin itu berkuasa 109 ps pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm (Super CVT-i) dan 138 Nm (manual) pada 4,400 rpm.

Enjin 1.5 liter 1NZ-FE VVT-i pula dipadan bersama pacuan 2WD dengan transmisi manual manakala model pacuan 4WD menggunakan transmisi Super CVT-i.

Kuasa enjin model 4WD ialah 103 ps pada 6,000 rpm dan tork 132 Nm pada 4,400 rpm.

Dari segi keselamatan, Fielder dan Axio dilengkapi Toyota Safety Sense seperti sistem keselamatan pra pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, sokongan brek parkir dan peringatan penukaran lorong.

Tentang harga, Corolla Fielder ditawarkan dari 1,758,400 yen (RM55,227) hingga 2,330,400 yen (RM73,192) manakala Corolla Axio pula dari 1,611,600 yen (RM50,616) hingga 2,177,000 yen (RM68,374).

Toyota Corolla Fielder EX 2022

BACA: LIMA CIRI TOYOTA SIENTA 2022, DARI RM62K DI JEPUN!

BACA: PADA 2019 TOYOTA C-HR GR SPORT DIPERKENAL DI JEPUN, 1.2L TURBO MANUAL DAN 1.8L HIBRID!

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH DUA, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

Google ads
Back to top button