Buletin

WAKTU OPERASI MESIN ATM KINI DIHADKAN KEPADA 8AM-8PM SAHAJA

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa operasi mesin pengeluaran wang ATM akan dihadkan kepada 8 pagi hingga 8 malam sahaja. 

Langkah berkenaan terpaksa diambil berikutan orang ramai dikatakan keluar malam dengan memberi alasan mahu mengeluarkan wang. 

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ismail Sabri memberitahu kerajaan menerima laporan daripada pihak polis bahawa ramai yang menggunakan alasan pergi ke mesin ATM apabila disoal. 

“Sebelum ini, operasi mesin ATM dibenar beroperasi 24 jam. Oleh sebab itu, mesyuarat memutuskan supaya waktu operasi mesin ATM dihadkan kepada 8 pagi sehingga 8 malam. Jadi, tiada lagi alasan untuk keluar pada tengah-tengah malam,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri menegaskan bahawa tindakan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tepat dalam membendung penularan wabak COVID-19. 

Satu lagi tindakan tepat ialah mengenakan kuarantin wajib ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara. Kita boleh lihat sesetengah negara yang tidak kenakan kuarantin wajib telah mencatatkan peningkatan mendadak kes COVID-19. 

“Kita faham ramai yang kurang senang. Namun, laporan yang diterima oleh Kementerian Kesihatan mendapati 17 kes positif dalam kalangan rakyat yang pulang dari luar negara. Jika kuarantin wajib tidak dilaksanakan, pesakit tidak sedar mereka positif dan boleh menyebarkan COVID-19 kepada lebih ramai orang,” jelasnya.

Tags
Google ads
Back to top button