Artikel Pilihan

WANITA DARI COLORADO INI SEORANG PENGUMPUL SUPERCAR MCLAREN

Tiada apa yang pelik jika seorang pengumpul itu perempuan. Orang perempuan ni kebanyakannya memang pengumpul. Ada yang kumpul barang kemas, ada yang kumpul kain tudung, duit, pinggan mangkuk, jam, karpet, pasu Serawak, magnet peti sejuk dan macam-macam lagi. Kalau nak cerita sebulan pun tak habis. Itu belum termasuk yang suka kumpul kain tak berbasuh, alat mekap dan kasut lagi tu.

Tapi ini kami nak cerita pasal seorang wanita unik dari Colorado AS. Dia ni istimewa sikit sebab dia minat kumpul kereta. Bukan kereta biasa tetapi supercar. Supercar pulak dari jenis rare. McLaren boh. Mungkin ada yang gelak, alah McLaren bukan banyak model sangat pun bang, lain la Ferrari. Biar dia gelak banyak mana dia nak sebab aci makan sate 30 cucuk, yang gelak tu bukan setakat nak memiliki Ferrari, naik Ferrari pun tak pernah.

Wanita yang dimaksudkan ialah Kathy Cargill dan merupakan salah seorang peminat kereta eksotik yang unik. Kalau kebanyakan pengumpul kaya lain sibuk menebeng supercar mereka di media social di bandar-bandar besar AS seperti LA, Miami ataupun New York, Kathy lebih berminat untuk menetap di Colorado yang lebih tenang dan mempunyai rentak yang lebih perlahan.

Koleksi Kathy termasuklah dua buah McLaren 570S, sebuah 720S berwarna Azores Orange dan akhir sekali dan terbaru, sebuah McLaren Senna. Malah wakil pengeluar supercar British itu baru-baru ini melawat garaj Kathy dan terpegun melihat koleksi-koleksi beliau.

McLaren Senna milik Kathy tidak dicat tetapi mengekalkan corak luaran serat karbon yang kemudian diserikan dengan beberapa jaluran kemasan berwarna kuning terang. Ia bukannya sebuah kereta yang biasa ditemui di kawasan Colorado.

Bila Senna ini tidak dipandu Kathy melalui bandar-bandar kecil sekitar Colorado ataupun sekitar laluan di kawasan pergunungan sekitar Colorado, ia akan dipakir dalam garaj khas yang lengkap dengan tempat cucian yang juga dipenuhi dengan koleksi-koleksi memorabilia milik Kathy.

Kathy menyatakan yang beliau memang sangat menyayangi koleksi supercar dan memorabilia milik beliau jadi semuanya direka khas untuk menempatkan kesemuanya dengan kemas.

Memandu Senna di sekitar Colorado yang serba indah umpama memandu terus ke dalam sekeping poskad. Apa lagi yang seorang pemandu mahu bila memandu sebuah kereta yang hebat ditemani jalan-jalan yang menarik dan pemandangan yang indah. Hanya yang benar-benar bertuah akan berpeluang merasainya. Er, kereta pinjam pun okey kan?

Google ads
Back to top button