Artikel Pilihan

WANITA LARIKAN PORSCHE UNTUK DIJUAL – NYARIS LANGGAR PEMILIK

Pihak berkuasa Kanada kini sedang memburu seorang pencuri kereta wanita yang menyamar sebagai pembeli sebelum melarikan Porsche tersebut di depan rumah pemilik pada waktu siang hari. Bukan itu sahaja, beliau nyaris menggilis pemilik bila mengundur dengan melulu dalam usaha untuk melarikan diri.

Rakaman dari kamera loceng pintu yang disiarkan oleh Peel Regional Police menunjukkan sorang wanita muda menghampiri rumah pemilik. Berpakaian kemas dan bercermin mata, wanita tersebut rupanya seorang pencuri kereta yang menyamar.

Wanita tersebut memberitahu pemilik yang beliau sedang menunggu ketibaan bapa beliau sebelum meminta kebenaran untuk melihat Porsche tersebut. Sebaik memasuki kenderaan beliau segera mengunci pintu meninggalkan pemilik di luar kenderaan.

Pemilik yang malang cuba membuka pintu-pintu lain tapi pencuri tersebut kemudian menekan minyak dan mengundur dengan laju menyebabkan pemilik tercampak ke tepi. Nasib baik tak terpenyek dengan kereta lain yang ada di belakang.

Polis mengesahkan yang Porsche tersebut telah pun dicuri yang mereka cuba mengesan dua lagi kenderaan yang mungkin terlibat dalam insiden itu. Sebuah darinya ialah Bentley Bentayga dan sebuah lagi ialah SUV BMW berwarna biru. Keduanya dilihat berada berhampiran lokasi kejadian dan bergerak pergi sejurus selepas insiden.

Berhati-hatilah kalau nak berjual beli kereta selepas ini. Taktik pencuri zaman sekarang makin kreatif. Pastikan anda tidak berjumpa dengan bakal pembeli seorang diri. Naya weh kalau kena macam ni.

Google ads
Back to top button