Buletin

TIANG KONKRIT JATUH DARI TRELER. 2 MAUT, PEMANDU DITAHAN POLIS

Tiang konkrit yang jatuh dari sebuah treler menyebabkan dua orang lelaki maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan yang berlaku di Terowong Menora, Lebuh Raya PLUS malam semalam. 

Insiden yang melibatkan tujuh buah kenderaan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala dua orang lagi yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 256.1 itu terjadi apabila beberapa batang tiang konkrit berkenaan terjatuh ke jalan dan terpelanting ke laluan bertentangan. 

Situasi itu menyebabkan tiang menghempap kenderaan pertama sebelum beberapa buah lagi kereta lain terlanggar sesama sendiri di belakangnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, polis dilapor sudahpun menahan pemandu treler terbabit. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail, ujian air kencing ke atas pemandu berusia 41 tahun itu adalah negatif. 

Siasatan awal mendapati treler yang membawa 18 batang tiang konkrit mengalami masalah brek ketika menuruni bukit.

“Ketika di tempat kejadian, pemandu treler dipercayai cuba mengelak kenderaan di hadapannya. Tindakannya mengubah haluan ke kiri dan ke kanan membuatkan tiang konkrit itu jatuh,” kata Razali. 

Tiang yang bergolek itu kemudian menghempap sebuah Honda City yang dinaiki mangsa, sebelum melanggar pula sebuah Perodua Axia dan treler lain. 

Pemandu berkenaan bagaimanapun hanya cedera ringan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.     

sumber: Astro Awani, Berita Harian

Tags
Google ads
Back to top button