Buletin

PKPB DISAMBUNG SEHINGGA 9 JUN 2020. RENTAS NEGERI UNTUK BALIK BERAYA TIDAK DIBENARKAN

Dalam usaha memerangi wabak COVID-19 di negara ini, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sebentar tadi.

Muhyiddin menyifatkan usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 masih belum berjaya sepenuh, biarpun jumlah kes yang sembuh adalah tinggi dan kawasan yang diklasifikasikan sebagai hijau bertambah banyak.

“Dari segi pandangan umum, rata-rata rakyat mahu kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar. Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan PKPB akan disambung sehingga 9 Jun 2020 iaitu selama empat minggu lagi.

Ini bermakna semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB sekarang akan kekal berkuat-kuasa sehingga 9 Jun depan. Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sedia maklum bahawa dalam tempoh ini ada beberapa perayaan utama yang akan menyebabkan pergerakan orang ramai. Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya ingin mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna, minta maaflah banyak-banyak, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung rentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Stesen radio dan TV bolehlah main lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu, saya pun raya sayu juga,” kata Muhyiddin lagi.

Google ads
Back to top button