,
Buletin

WRC 2020 – TOMMI MAKINEN RAMAL SAINGAN 4 PENJURU

Prinsipal Pasukan Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen meramalkan saingan perebutan tahta kejuaraan WRC musim 2020 ini bakal melibatkan saingan empat penjuru. Beliau menyenaraikan Ott Tanak, Thierry Neuville, Sebastian Ogier serta Elfyn Evans.

Penyenaraiaan Elfyn Evans oleh lagenda rali ini tidaklah mengejutkan sementelah pemandu yang baharu menyertai Toyota Gazoo daripada pasukan M- Sports itu berjaya memenangi perlumbaan di Sweden sebelum ini. Malah prestasi pemandu kelahiran Wales itu beraksi di laluan bersalji cukup konsisten dengan hampir mendominasi setiap peringkat.

Menurut Tommi, beliau sedikit kagum dengan prestasi Elfyn Evans di Sweden dalam keadaan pemandu yang masih belum cukup mengenali karektor Yaris WRC tetapi masih berupaya memandu untuk muncul juara.

“Kami sudah lama mengetahui keupayaan Elfyn. Beliau boleh bertarung sepanjang masa’, menurut Tommi Makinen lagi.

Sementara itu Prinsipal Toyota Gazoo yang juga merupakan lagenda bagi Miitsubishi itu turut mengesahkan bahawa tiada lagi sebarang Arahan Pasukan selepas ini. Perkara ini terbukti apabila beliau membiarkan sahaja pelumba muda Kalle Rovanpera terus mengejar Sebastian Ogier di Sweden sekaligus mengalahkan pelumba lagenda tersebut dalam peringkat akhir.

Berkenan Elfyn Evans, bekas Prinsipal beliau sewaktu di M-Sports Ford, Rich Millener turut senada dengan pernyataan bos Toyota Gazoo tersebut bahawa Elfyn Evans sudah bersedia untuk mencabar kejuaran WRC bagi musim 2020 ini. Rich Millener pernah bekerjasama dengan pelumba Britain tersebut selama tujuh tahun ketika di M-Sport Ford, sekali gus menyaksikan perubahan mental dan gaya pemanduan yang kini jelas lebih matang.

Oh ya, hujung minggu ini bakal berlangsung perlumbaan pusingan ketiga di Mexico dengan permukaan batu kerikil menjadi cabaran buat pertama kali bagi musim ini. Meliputi 24 pusingan dengan jarak keseluruhan 947.29 km, pasti aksi lebih sengit akan dapat dilihat. Sebenarnya bukan sahaja permukaan batu kerikil yang menjadi ujian, malah faktor cuaca yang terik hingga boleh mencecah 30°C berupaya memberikan tekanan tambahan kepada enjin dan juga transmisi.

Mengenai penularan wabak virus COVID-19, pasukan perubatan turut bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan di Mexico turut wujudnya kes tersebut. Mujur juga penularan tersebut masih lagi terkawal dan belum lagi merebak ke kawasan tumpuan di Guanajuato.

BACA : WRC 2020 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI SWEDEN

BACA : WRC 2020 – THIERRY NEUVILLE MUNCUL JUARA PEMBUKA TIRAI

Tags
Google ads
Back to top button