
MODENAS PULSAR RS200 & DOMINAR D400 TURUN HARGA. PULSAR RS200 KINI CUMA RM9,990 SAHAJA
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini mengumumkan penurunan harga lebih dari 10% bagi model Modenas Pulsar RS200 dan Modenas Dominar D400 berkuat kuasa 8 Mac 2020.
Jadi, model Modenas Pulsar RS200 kini berharga RM9,990, turun sebanyak 12 peratus atau RM1,360.
Harga sport-touring Modenas Dominar D400 kini pula berharga RM13,788 penurunan sebanyak RM1,700 atau 11 peratus berbanding harga sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan memberitahu pengurangan kos pembuatan kedua-dua model tersebut telah membawa kepada penurunan harga ini.
“Melalui penambahbaikan dalam proses pengeluaran kami, MODENAS berjaya mengurangkan kos pengeluaran Modenas Pulsar RS200 dan Modenas Dominar D400. Sekali gus menjadikan model popular ini lebih mampu milik,” kata Roslan.
Modenas Pulsar RS200 dan Dominar D400 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, sejukkan cecair, 4-lejang SOHC serta sistem DTS-i dengan pancitan bahan api. Kedua-dua model itu juga dildatangkan dengan brek cakera tunggal berjenama ByBre yang turut dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Selain pengurangan harga, MODENAS merancang untuk meningkatkan prestasi jualan dengan memperluaskan portfolio produk dan membuka pengedar sah baru.
MODENAS merancang untuk memperkenalkan lima hingga lapan buah model baharu (motosikal dan variasi) ke pasaran Malaysia pada tahun ini.