
WRC 2023 – AKHIRNYA THIERRY NEUVILLE DAN HYUNDAI MENANG DI ITALI
Setelah sekian lamanya mencuba untuk menang, pemandu pasukan Hyundai Motorsport, Thierry Neuville berjaya memenangi perlumbaan Rally Italia Sardegna yang berlangsung dalam suasana yang penuh dengan dramatik.
Pemandu yang berasal dari Belgium itu walau bagaimana pun harus mengakui bahawa sekiranya tidak terdapat sebarang drama yang membabitkan beberapa pemandu, berkemungkinan juga beliau masih lagi dahagakan kemenangan pertama bagi musim ini. Kali terakhir beliau menang adalah ketika di Jepun tahun sudah.

Thierry Neuville mula memimpin pendahulu saingan ketika pendahulu ketika itu Sebastian Ogier terbabas di pinggir jalan ketika SS 14 dan hampir sahaja terjunam ke bawah. Mujur keduanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Thierry Neuville akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan dengan bergaya setelah meninggalkan rakan sepasukan Esapekka Lappi dengan kelebihan hanya 33 saat sahaja sekali gus menghasilkan kejayaan podium 1 – 2 buat pasukan Hyundai Motorsport. Dan ini merupakan kemenangan ke 18 dalam kerjaya Thierry Neuville sepanjang kempen WRC setakat ini.
Sementara itu Esapekka Lappi berterusan mempamerkan pemanduan dan keputusan yang konsisten apabila berjaya menduduki tempat ketiga teratas buat kali ketiga berturut – turut dan mengutip mata penting untuk pasukan. Sudah tentu keputusan ini cukup melegakan buat Prinsipal pasukan Cyril Abiteboul yang menantikan kemenangan pertama mereka musim ini.

Melengkapkan podium ketiga adalah Kalle Rovanpera yang menyaksikan ini adalah keputusan terbaik beliau setakat ini ketika beraksi di Rally Italia Sardegna yang berlangsung dalam kondisi jalan yang cukup mencabar. Kehadiran lopakan air yang berskala kolam saiz olimpik serta kondisi jalan yang berdebu merupakan cabaran utama yang harus ditempuh, malah ada yang mengatakan ianya saling tidak tumpah seperti perlumbaan di Safari. Cuma tak ada Zebra melintas aja agaknya.
Tempat keempat menjadi milik rakan sepasukan beliau, Elfyn Evans yang harus akur dengan keputusan yang mungkin tidak berapa nak cemerlang. Yang pasti, tetap mengutip mata penting untuk pasukan dan diri sendiri.

Sementara itu Dani Sordo yang sebenarnya hampir melengkapkan trio podium di Itali, jika tidak kerana beliau mengalami masalah ekzos serta jentera Hyundai i20 Rally1 terbalik pada saingan hari Jumaat.
Ternyata saingan di Itali ini cukup mencabar apabila hujan lebat yang turun ketika hari saingan menyebabkan berlakunya insiden yang tidak diingini. Ott Tänak dan Takamoto Katsuta mengalami masalah apabila jentera mereka yang merempuhi lopak air yang besar ketika itu. Sistem sensor elektronik mengganggu jentera Ford Puma Rally1 manakala Toyota GR Yaris Rally1 pula mengalami kerosakan pada radiotor.
Tamat pusingan pertama kalendar WRC musim ini, perlumbaan ketujuh bakal beralih ke Safari Rally Kenya yang cukup terkenal itu pada 22 – 25 Jun nanti.
BACA : WRC 2023 – KALLE ROVANPERA AKHIRNYA MENANG JUGA MUSIM INI DI PORTUGAL
BACA : WRC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK OTT TANAK DI RALLY SWEDEN