WRC2 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT ANDREAS MIKKELSEN DI RALLY ITALIA
Andreas Mikkelsen meraikan kemenangan yang paling tidak terduga dalam kempen WRC2 pada petang Ahad di Rally Italia Sardegna apabila pendahulu saingan ketika itu, Adrien Fourmaux terbabas ke bahu jalan di saat saingan hanya berbaki 1.8 km menuju ke garisan penamat.
Dan dengan perkhabaran duka tersebut, ianya sekali gus menafikan kemenangan pertama buat pemandu dari Perancis itu untuk meraih kemenangan pertama dalam kelas WRC2, walau pun sebelum ini beliau terlebih dahulu meraikan kejayaan di British Rally Championship baru baru ini.
Kemenangan Andreas Mikkelsen ini ternyata tuah buat pemandu dari Norway ini apabila ini merupakan keputusan yang terbaik di Itali ini sementelah gagal menamatkan saingan dalam dua aksi sebelum ini. Ketika memulakan aksi Power Wolf Stage sejauh 7.79 km, Andreas Mikkelsen yang bermula lewat 31 saat di hadapan jentera Ford Puma Rally2 Adrien Fourmaux seakan pasti untuk mengekalkan kedudukan itu bersama jentera Skoda Fabia RS Rally2.
Namun ketika menghampiri garisan penamat, beliau mendapat perkhabaran tentang situasi yang melanda Adrien Fourmaux akibat daripada perubahan cuaca hingga menyebabkan kondisi jalan berubah menjadi lebih licin. Walau pun cuba dibantu oleh para penonton, namun jentera Ford Puma Rally2 tersebut tetap gagal kembali ke jalan yang benar sekali gus memberikan tuah dan rezeki buat Andreas Mikkelsen.
Kemenangan Andreas Mikkelsen dalam saingan WRC2 bukan sahaja menyakinkan malah, beliau juga berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan dalam saingan Rally Italia Sardegna setelah beberapa bintang utama kelas utama gagal menamatkan saingan akibat daripada perubahan cuaca dan kondisi jalan yang cukup mencabar.
Bagi Adrien Fourmaux, ianya pasti mimpi ngeri buat beliau setelah berjaya merampas pendahulu saingan daripada pemandu Finland, Sami Pajari ketika tamat saingan pada hari Sabtu. Yang pasti, beliau masih lagi kempunan untuk meraih podium sehingga ke hari ini.
Dan kempunan juga nasib yang sama menimpa, Sami Pajari yang sedang mendahuli terlibat dengan kemalangan membabitkan batu di pinggir jalan dan menyebabkan jentera Skoda Fabia RS beliau mengalami kerosakan pada bahagian sistem ampaian.
Sementara itu, Teemu Suninen yang memandu Hyundai i20 Rally2 bangkit daripada masalah kerosakan tayar pada awal saingan untuk berada di podium kedua keseluruhan walau pun ketinggalan agak jauh 2 minit 15 saat. Ini merupakan keputusan terbaik buat Teemu Suninen setakat musim ini.
Lebih dari satu minit di belakangnya tempat ketiga keseluruhan adalah Kajetan Kajetanowicz. Pemandu dari Poland ini berjaya menahan saingan daripada, Yohan Rossel, walaupun menghadapi sedikit masalah membabitkan jentera Skoda Fabia RS.
Kedudukan Pemandu
- Yohan Rossel – 77 mata
- Oliver Solberg – 64 mata
- Gus Greensmith – 62 mata