
WRC 2023 – KALLE ROVANPERA AKHIRNYA MENANG JUGA MUSIM INI DI PORTUGAL
Pemandu pasukan Toyota Kalle Rovanpera akhirnya berjaya juga memenangi perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) musim ini setelah pemandu Finland tersebut menang dengan bergaya di Vodafone Rally de Portugal.
Penyandang juara WRC musim lalu ternyata unggul untuk terus mendahului saingan di Vodafone Rally de Portugal dalam keadaan cuaca yang panas dan berdebu setelah mengambil alih posisi pendahulu daripada Ott Tanak sewaktu saingan bermula pada hari Sabut. Malang menimpa bekas juara dari Estonia tersebu apabila beliau mengalami kerosakan tayar pada saingan tengahari Jumaat.

Kemenangan Kalle Rovanpera ini sudah tentu memberikan kelegaan buat beliau setelah kali terakhir memenangi perlumbaan sewaktu di New Zealand tahun lepas. Dan perlumbaan di Portugal ini, Kalle Rovanpera berjaya membuktikan bahawa beliau masih lagi mempunyai keupayaan untuk memandu laju dan menang sekali gus berjaya mendahului saingan keseluruhan setakat lima perlumbaan.

Di Portugal ini, Kalle Rovanpera berjaya memenangi lima SS dan berjaya meninggalkan Dani Sordo di tempat kedua dengan catatan masa hampir satu minit. Cukup laju. Sungguh pun demikian, prestasi Dani Sordo dianggap cukup bagus memandangkan ini perlumbaan ketiga beliau musim ini dan berjaya menaiki podium. Melengkapkan podium ketiga juga adalah jentera dari Hyundai i20 N yang dipandu oleh Esapekka Lappi.
Keputusan ini pastinya cukup lega buat pasukan Hyundai Motorsport untuk terus mengekori rapat pasukan Toyota Gazoo Racing dari segi pungutan mata pasukan yang kini hanya dipisahkan dengan 32 mata sahaja.
Thierry Neuville yang mengalami masalah dengan sistem turbo yang menyebabkan jentera beliau mengalami masalah kekurangan kuasa pada hari ketiga saingan dan harus akur untuk hanya berada di tempat kelima keseluruhan.

Manakala Ott Tanak berjaya untuk berada di tempat keempat keseluruhan mengambil kesempatan di atas masalah yang menimpa Thierry Neuville sebelum itu. Sementara itu, rakan sepasukan beliau Pierre-Louis Loubet pula akur untuk menarik diri pada hari awal saingan akibat daripada jentera Ford Puma Rally1 beliau terbakar yang khabarnya berpunca daripada sistem ekzos.
Perlumbaan keenam berikutnya bakal berlangsung pada awal Jun nanti di Rally Italia Sardegna.
Kedudukan Pungutan Mata Pemandu
- Kalle Rovanpera – 98 mata
- Ott Tanak – 81 mata
- Sebastian Ogier – 69 mata
Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar
- Toyota Gazoo Racing – 201 – mata
- Hyundai Shell Mobis -169 mata
- M-Sport Ford – 134 mata
BACA : WRC 2023 – ELFYN MENANG DI RALLY CROATIA YANG PENUH DENGAN EMOSI
BACA : WRC 2023 – SEBASTIAN OGIER MENANG BUAT KALI KE TUJUH DI MEXICO







