Motosikal

YAMAHA BERJAYA DAPATKAN KHIDMAT BEKAS STAF MAGNETI MARELLI

Itulah yang diumumkan oleh Max Oxley dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP berkenaan bekas staf Magneti Marelli yang kini bersama mereka di garaj Yamaha. Nampak macam remeh tetapi ia sebenarnya satu langkah penting dalam usaha mereka untuk menyelesaikan masalah elektronik Yamaha M1 untuk musim 2019.

Bahkan Yamaha sememangnya kelihatan agak ketinggalan dalam meneroka dan mengoptimakan potensi dan kombinasi ECU dan perisian yang dibekalkan oleh Magneti Marelli berbanding Honda dan juga Ducati.

Pada musim 2018 lepas mereka telah meminjam khidmat Michele Garda, pakar elektronik dari World SBK kerana beliau memang cukup mahir dalam mengeluarkan potensi perisian elektronik motosikal. Musim ini khidmat Garda digunakan sekali lagi secara rasmi dan kini Yamaha juga telah membentuk sebuah divisyen baru yang dinamakan Electronics Management System (EMS) dan diterajui oleh Garda sendiri untuk mencari penyelesaian terhadap masalah jentera mereka.

Divisyen baru ini sebenarnya mempunyai 5 pakar elektronik terbaik perlumbaan termasuk Garda dan 4 orang lagi pakar. Daripada jumlah tersebut 3 orang adalah warga Itali dan seorang lagi dari Belgium. Nampak tak macam mana syarikat Jepun sanggup berkorban dengan memilih warga asing untuk survival. Sebenarnya Honda dan Ducati pun sudah lama melakukannya.

Divisyen baru Yamaha ini berpangkalan di Lesmo berhampiran dengan Monza dan diketuai oleh Michele Giada. Tapi masalahnya sampai ke hari ini Yamaha masih terasa kekurangan dari aspek elektronik berbanding pesaing mereka. Malah peningkatan yang ditunjukkan oleh saingan mereka juga nampak lebih rancak. Jika sebelum mereka ketinggalan kepada Honda dan Ducati kini Suzuki juga sudah menunjukkan belangnya.

Disebabkan itu jugalah Yamaha terpaksa menggadai semangat patriotik mereka dan mengambil pakar elektronik dari negara luar. Honda sebelum ini cukup bernasib baik kerana berjaya merekrut Fillipo Tosi untuk menyelesaikan masalah mereka dan mampu kembali menyaingi Ducati.

Yamaha sebenarnya sudah lama mengintai peluang untuk melamar pakar-pakar elektronik dari Magneti Marelli tetapi sebelum ini kebanyakan pakar ini sudah pun disambar oleh pasukan Ducati dan juga Honda.

Harap-harap langkah terbaru yang diambil Yamaha ini akan menyelesaikan masalah mereka. Dalam pusingan terbaru di litar Sachsenring, motosikal Maverick Vinales didapati berfungsi dengan baik sekaligus membolehkan beliau merangkul tempat kedua. Pelumba utama mereka Valentino Rossi bagaimanapun kelihatan masih mempunyai masalah dengan motosikal beliau dan jauh ketinggalan di belakang.

Tags
Google ads
Back to top button