Artikel Pilihan

YAMAHA PERNAH MEMBINA SEBUAH KERETA-SUPERCAR YANG HEBAT, OX99-11

Tahukah anda bahawa Yamaha Corporation yang menjadi idola pemilik-pemilik RX-Z orimoto di Malaysia ini asalnya ialah pembuat piano dan organ? (patutlah bunyi ekzos dia best).

Bukan itu sahaja, Yamaha juga pernah cuba menghasilkan sebuah supercar tapi malangnya tidak pernah dikomersialkan. Pada masa kini Yamaha dikenali sebagai pengeluar motosikal tetapi mereka masih lagi merupakan pengeluar piano terbesar di dunia.

Bahagian kejuruteraan Yamaha buat masa ini bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran motosikal tetapi juga ATV, bot, enjin sangkut, enjin kenderaan, bot peribadi dan juga kenderaan salji. Tetapi tahukah anda yang Yamaha pernah mengeluarkan supercar suatu masa dahulu?

BACA: GAMBARAN YAMAHA R25 AKAN DATANG

BACA: YAMAHA YZF-R6 VERSI PERLUMBAAN

Jangan main-main dengan Yamaha okey. Satu-satunya supercar mereka ini diinspirasikan daripada F1 tetapi tidak pernah dihasilkan dan hampir dilupakan terus oleh dunia.

SEJARAH YAMAHA

Logo_Yamaha

Kita imbau sedikit sejarah Yamaha. Yamaha ditubuhkan pada tahun 1887 sebagai pengeluar piano dan organ. Malah sampai sekarang mereka masih menggunakan logo yang sama yang berasaskan alat-alat muzik. Logo Yamaha merupakan tiga alat pelaras nada (bukan cucuk sanggul tau) yang digunakan untuk melaraskan bunyi alat muzik.

Selain alat muzik, Yamaha mula menghasilkan enjin untuk pesawat pada tahun 1921 dan menjadi asas kepada pembuatan motosikal dan bot selepas itu.

yamaha piano

Perang Dunia Kedua menyaksikan kemusnahan yang banyak kepada kilang-kilang pengeluaran di Jepun dan Yamaha tidak terkecuali. Tetapi, sama seperti syarikat-syarikat Jepun lain, mereka kembali bangkit dan memodenkan lagi kilang-kilang mereka. Kilang baru tersebut telah digunakan oleh Yamaha untuk menghasilkan motosikal pertama mereka pada Februari 1955. Ia terus menyertai perlumbaan dan menang. Power betul Yamaha ni, sentiasa di depan.

Yamaha juga mula menceburi sektor automobil pada tahun berikutnya dengan menghasilkan enjin untuk Toyota. Kenal dengan model klasik Jepun paling mahal dengan nama Toyota 2000GT? Ia juga digelar sebagai supercar pertama Jepun. Walaupun dikenali dengan nama Toyota, kebanyakan proses dalam pengeluarannya dilakukan oleh Yamaha. Yamaha kemudiannya turut menghasilkan enjin untuk Ford Motor Company.

JEPUN DAN GRAND PRIX FORMULA SATU

Syarikat dari Jepun mula menyertai F1 seawal tahun 1989. Penglibatan Yamaha dalam F1 bagaimanapun tidak begitu menyerlah. Pada tahun itu juga pasukan West Zakspeed yang menggunakan enjin Yamaha cuma layak menyertai dua dari enam belas perlumbaan.

Disebabkan keputusan yang kurang memberangsangkan, West menarik balik tajaan dan Zakspeed pula meninggalkan F1. Karier Yamaha dalam F1 berakhir pada tahun 1990.

yamaha OX99-11 (4)

Namun apa yang menariknya, mereka sempat membangunkan sebuah enjin 3.5-liter V12 khusus untuk musim 1991 dan enjin yang dinamakan OX99 merupakan asas yang baik untuk pembuatan sebuah supercar Yamaha.

Sewaktu terlibat dengan F1, Yamaha telah menubuhkan sebuah syarikat khusus untuk membaikpulih enjin dan dinamakan Ypsilon Technology. Syarikat ini berpangkalan di England dan mempunyai kawasan kilang yang cukup besar dan sesuai untuk menghasilkan supercar.

Sebenarnya Yamaha sudah sekian lama berhasrat untuk menghasilkan sebuah supercar tetapi gagal mencari rakan kongsi yang mampu merealisasikan hasrat mereka. Sebuah syarikat Jerman pernah menghasilkan lakaran dan gambaran awal tetapi gagal memikat hati Yamaha.

BACA: SUASANA LOT PARKIR KERETA LELONG DI JEPUN

BACA: KERETA SUPERCAR ASING DI JEPUN

Yamaha mahukan sebuah kereta yang berbeza dengan kereta-kereta yang ada di pasaran ketika itu. Yamaha meminta bantuan syarikat perunding rekaan British – IAD untuk mereka supercar pertama mereka itu.

IAD berjaya menyudahkan proses rekaan supercar itu dalam masa 12 bulan. Pada awalnya ia dihasilkan dengan satu tempat duduk, tetapi Yamaha bertegas mahukan dua tempat duduk. Oleh itu IAD meminda rekaan dengan meletakkan penumpang di belakang pemandu seperti sebuah motosikal. Ia bersesuaian dengan kepakaran sebenar Yamaha iaitu dalam bidang motosikal.

1. ox9911 2

Yamaha OX99-11 berjaya dihasilkan pada tahun 1992 berdasarkan falsafah perlumbaan yang sebenar. Ciri menariknya seperti kerangka gentian karbon sepenuhnya dan enjin yang dilengkapkan di bahagian belakang kepala penumpang. Enjin 3.5-liter V12 dengan lima injap per selinder merupakan sisa teknologi F1 mereka dan mampu menghasilkan 400 hp kuasa maksima.

OX99-11 ini mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.2 saat. Kelajuan maksimanya ialah 350 km/j. Kuasa disalurkan ke roda belakang dengan menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan. Bahagian badannya pula dihasilkan daripada panel aluminium yang dibentuk dengan tangan. Bahagian penutup kokpit pula dibuka dengan gaya gull-wing ala jet pejuang.

Sejumlah tiga unit telah dihasilkan, satu tidak dicat untuk tujuan ujian manakala dua unit lagi masing-masing berwarna merah dan hitam dipertontonkan pada sidang akhbar. Bila ia mula diuji dan dipandu oleh pihak media, berlaku pula percanggahan pendapat antara Yamaha dan IAD.

1. ox9911 4

Projek ini kemudian diserahkan kepada Ypsilon Technology. Tetapi mereka cuma diberikan masa enam bulan untuk menyiapkan pembangunan kereta ini. Ianya agak mustahil dilakukan berikutan masa yang cukup singkat diberikan.

Pada masa yang sama, ekonomi Jepun mula gawat dan Yamaha memutuskan yang mereka akan mengalami kesukaran untuk memasarkan kereta yang berharga USD800,000 itu.

Projek ini ditangguhkan sehingga tahun 1994, Yamaha berjanji untuk menyambung usaha tersebut sebaik ekonomi pulih tetapi janji tinggal janji. Projek OX99-11 di batalkan terus.

Sebuah supercar unik dengan adunan yang tepat tetapi gagal dilancarkan di atas jalan. Kereta pertama Yamaha ini juga merupakan kereta terakhir mereka.

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button