
YAMAHA TÉNÉRE 700 ABS 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, RM44 RIBU
Motosikal dual-sport Yamaha Ténéré diperkenal pada 2019 dan lanjutan kepada XT660Z Ténéré sebelum itu.
Beberapa tahun di pasaran, Yamaha Ténéré 700 ABS 2024 akan memasuki pasaran Jepun pada 28 September dengan beberapa kelengkapan yang dipertingkatkan.
Apa yang berubah kali ini?
Pertama sekali penggunaan meter TFT berwarna saiz lima inci. Mod ABS pula dengan fungsi aktif dan nyahaktif untuk kedua-dua roda depan dan belakang atau nyahaktif untuk roda belakang sahaja.
Lampu isyarat depan dan belakang ditukar kepada jenis LED dan disediakan slot USB untuk pengecasan peranti elektronik. Pelanggan ditawarkan penukar cepat sebagai aksesori tambahan.
Enjin kekal sama iaitu 688cc DOHC, dua silinder sebaris yang menghasilkan 73ps pada 9,000 rpm dan tork 69Nm pada 6,500 rpm dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan.
Untuk mengembara, Yamaha membekalkan tangki petrol dengan kapasiti 16 liter. Dari segi dimensi, Ténéré 700 ABS berukuran 2,370 milimeter (mm) panjang, 905 mm lebar dan tinggi 1,455 mm.
Tinggi pelana berukuran 875 mm dengan jarak kelegaan bumi 240 mm. Berat motosikal ialah 205 kilogram.
Keluar dari kilang, Ténéré dipasang tayar Pirelli Scorpian Rally STR dengan ukuran 90/90-21M/C 54V di depan dan 150/70R18M/C 70V di belakang.
Brek depan Brembo dengan dua omboh dan dua cakera depan saiz 282 mm membantu menghentikan motosikal selain brek cakera tunggal 245 dengan angkup satu omboh di belakang.
Selain ciri-ciri tersebut, Ténéré dilengkapi perkakasan yang praktikal seperti dua cangkuk aluminium pada kedua-dua sisi, madgad depan boleh laras dan getah pemijak kaki yang boleh tanggal untuk off-road.
Ada tiga warna yang ditawarkan untuk pelanggan Jepun iaitu Deep Purplish Blue Metallic, Matt Dark Gray Metallic dan Radical White.
Yamaha Ténéré 700 ABS 2024 dijual pada harga 1,397,000 yen (RM44,342).
Kredit foto: Yamaha
BACA: YAMAHA XMAX 250 2023 TIBA DI MALAYSIA – NAVIGASI GARMIN, 22.5HP, HARGA BERMULA RM23K
BACA: YAMAHA BUAT STERENG BERKUASA (EPS) UNTUK MOTOSIKAL!
BACA: YAMAHA GIAT BANGUNKAN SISTEM PENSTABILAN KENDIRI (AMSAS) – BANTU ELAK RISIKO KEMALANGAN











