Buletin

YAMAHA TUBUH ENYRING, SYARIKAT SEWA BATERI DI EROPAH

Yamaha Motor Co., Ltd. telah menubuhkan sebuah syarikat baharu bernama ENYRING GmbH bagi menguruskan bateri untuk kenderaan elektrik (EV) kecil di Eropah.

Memilih Jerman sebagai lokasi ibu pejabat, ENYRING menawarkan khidmat langganan penggantian bateri untuk EV ringan.

ENYRING dijadual untuk mula menjalankan perniagaan pada setengah tahun pertama 2025.

Sebagai tambahan, dengan menggunakan semula (reuse) dan mengitar semula (recycle) bateri bersama syarikat kitaran (circular) Eropah, satu kitaran tertutup terhasil.

Kitaran tersebut melibatkan produk terpakai diguna sebagai sumber atau bahan untuk menghasilkan produk baharu dan dari situ tiada pembaziran terjadi.

Manfaat utama guna dan kitar semula ialah mengurangkan kesan kepada alam sekitar kerana sumber alam tidak perlu digali atau dilombong.

ENYRING mahu bekerjasama dengan syarikat lain dan selain Jerman mereka juga merancang untuk meluaskan khidmat di Belanda.

Sasaran ENYRING ialah EV kelajuan rendah terutama sekali basikal bantuan elektrik berdasarkan model perniagaan sewaan bateri secara langganan.

Pengguna boleh menggantikan bateri pada bila-bila masa di stesen bateri yang disediakan di sekitar bandar dan tidak perlu bersusah-payah mengecas atau membeli bateri.

Selain itu, bateri terpakai yang tidak lagi sesuai untuk pengangkutan boleh diguna semula sebagai bateri simpanan dan selepas itu ditanggalkan kepada sel dan dikitar semula untuk menjadi bateri baharu.

Projek ini dibuat bagi memberikan nilai baharu di dalam pengangkutan harian dan ke arah masyarakat neutral karbon.

Basikal bantuan bateri bukan perkara asing dan boleh dilihat pada basikal bukit sebagai aktiviti rekreasi masyarakat tempatan.

Di luar sana, basikal tunggangan harian juga menggunakan bateri sebagai contoh Yamaha PAS yang sudah lama dijual di Jepun.

BACA: YAMAHA MOTOR PLATFORM CONCEPT, PELANTAR EV DARI YAMAHA!

Google ads
Back to top button