Buletin

YAMAHA X-MAX 2022. ENJIN EURO4, KUNCI REKAAN BAHARU, 2 PILIHAN WARNA, BERMULA RM21,998 

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini mengumumkan penambahbaikan terkini ke atas skuter maxi popularnya, Yamaha X-MAX 250.  

Jentera itu kini ditawarkan pada harga RM21,998 seunit (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran). Ia melibatkan kenaikan harga sebanyak RM498 berbanding harga sebelumnya iaitu RM21,500. 

Peningkatan paling ketara ialah X-MAX didatangkan dengan enjin yang mematuhi piawaian Euro4 selepas sistem pancitan bahan apinya telah dinaik taraf. 

Bagaimanapun, kuasa yang mampu dihasilkan tetap sama iaitu 22.5hp pada 7,000rpm dan tork 24.3Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik tali sawat. 

X-MAX 2022 juga menerima perumah lampu isyarat membelok yang lebih gelap (smoked) dan kunci pintar dengan rekaan baharu. Bagi membuatkannya mempunyai penampilan lebih segar, ia hadir dengan warna baharu iaitu Icon Grey dan Power Grey.  

Ciri-ciri lain kekal sama. Antaranya, ia masih menggunakan rim bersaiz 15 inci di depan dan 14 inci di belakang. Di samping sistem brek ABS depan belakang, ruang penyimpanan barang yang luas di bawah pelana dan tangki bahan api berkapasiti 13.2 liter. 

 Setiap pembelian akan dihadiahkan dengan kunci cakera Yamaha bernilai RM100. 

GALERI

Google ads
Back to top button