
ZEEKR 009 – ADAKAH KITA BAYAR TERLALU MAHAL UNTUK JENAMA?
Mari kita huraikan tajuk di atas dengan segera. Zeekr 009 ialah MPV mewah dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya ditawarkan dalam 2 varian, samaada Luxury pada harga RM 349,000 atau Ultra Luxury pada harga RM 359,000.
Semua harga di atas adalah jauh lebih murah daripada pesaing terdekatnya iaitu Toyota Alphard (RM 448,000) dan juga Toyota Alphard (RM 548,00). Ya mungkin kedengaran murah, tapi penulis minta maaf sekiranya anda tersinggung dengan harga yang disebut
Murah dalam konteks ini bermakna anda bukan bermakna makan gaji, tapi anda ada pemandu sendiri, ada syarikat sendiri dan anda adalah CEO syarikat. Kalau anda seperti penulis dalam golongan “beratap rumbia” tak salah berangan dan menyatakan RM 359,000 ini adalah jauh lebih murah berbanding RM 548,000
Malah kalau anda tanya budak darjah satu pun, mereka akan tahu angka 3 adalah jauh lebih kecil berbanding dengan angka 5

Dengan harga M 359,000, anda akan dapat sebuah MPV yang dibina dengan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture 1 yang diberikan terus oleh pemegang taruh Zeekr iaitu Geely. Platform ini menghasilkan sebuah MPV yang lebih besar, panjang dan memiliki jarak antara roda yang lebih besar daripada Alphard
Dengan panjang 5217mm dan lebar 2024mm, Zeekr 009 kelihatan gah di atas jalan raya. Apatah lagi rekaan luarnya tidak seperti kebanyakan kereta buatan China yang lain. Zeekr tidak cuba untuk menonjol dengan elemen rekaan yang pelik
Sebaliknya Zeekr 009 menggunakan elemen rekaan geometrik dengan rekaan jeriji depan ala-ala Rolls Royce dengan lampu DRL yang agak unik. Rekaan rim Starlight juga dibuat dengan menarik, menggunakan aerodinamik yang maksimum untuk memastikan kecekapan tenaga

Jika dilihat dengan teliti, barula anda perasan yang rekaan rim sebenarnya menggunakan penutup bagi mengurangkan pusaran angin. Ini membenarkan Zeekr 009 diberikan pekali geseran 0.27
Untuk pengetahuan pembaca, jenama Zeekr adalah jenama baru yang bernaung di bawah jenama Geely. Jadi Zeekr 009 menggunakan platform Sustainable Experience Architecture 1 yang sama digunakan oleh Lotus Electre, Polestar dan juga Volvo EM90
Jadi Zeeker mampu menawarkan ruang kargo sehingga 30 liter di bahagian depan dan sehingga 376 liter di bahagian belakang. Disebabkan Zeekr 009 menggunakan sistem “air suspension” maka ruang di bawah simpanan kargo belakang digunakan untuk menyimpan komponen sistem ini

Platform ini juga menawarkan penggunaan bateri yang besar, sekitar 116kWh yang membenarkan Zeekr 009 dipandu sejauh 582km untuk satu pengecasan penuh berdasarkan format ujian WLTP. Pengecasan AC 11kW mengambil masa sehingga 13 jam untuk dipenuhkan apabila bateri kosong
Bagi pengecasan pantas, ia mengambil masa sekitar 30 min untuk mengecas dari 30% ke 80% dengan bantuan OBC 150kW. Platform ini juga menyokong suspensi rekaan double wishbone pada gandar depan dan multi-link pada gandar belakang
Elemen rekaan dalaman juga menjadi salah satu aspek mengapa penulis boleh menerima jenama Zeekr. Rekaan stering dibuat dengan menggunakan 3 spoke, tombol gear dikekalkan, meter digital 10.25″ untuk pemandu dimuatkan pada perumah papan pemuka yang tidak memerlukan anda belajar semula untuk menggunakan kereta

Cuma yang menjengkelkan penulis ialah pelarasan stering seperti ketinggian, kedudukan cermin sisi dan pelarasan corong peyaman udara mesti dibuat menerusi skrin dan gabungan suis di stering. Ia agak menyusahkan dan memerlukan masa untuk ditetapkan
Pemandu boleh menyambung telefon pintar dengan sistem multimedia menerusi Android Auto atau Apple Car Play tanpa wayar sekiranya perlu selaian boleh menumpukan perhatian pada pemanduan 100% dengan bantuan ciri Head up Display dan juga Augmented Realiti.
Ini membolehkan segala maklumat seperti amaran titik buta dan juga sistem navigasi disampaikan terus dengan jelas pada pemandu. Skrin kawalan sistem multimedia dan juga kawalan semua fungsi kenderaan dikawal sepenuhnya dengan menggunakan skrin 15.4″.

Manakala skrin untuk penumpang (atau bos) dibekalkan dengan skrin bersaiz 17 inci yang lengkap dengan ciri panggilan video untuk menjadikan Zeekr 009 ini sebagai sebuah bilik mesyuarat yang bergerak.
Atau sekiranya penumpang belakang tidak berhajat untuk bekerja, pejabat bergerak ini boleh ditukar menjadi sebuah studio bergerak dengan bantuan 30 pembesar suara dari jenama Yamaha 7.1.9 dengan 9 speaker dipasang pada bumbung kereta.
Malah anda boleh menikmati bunyi yang mengasyikkan menerusi speaker yang “ditanam” di dalam perehat kepala

Melengkapkan ciri mewah pada Zeekr 009 termasuklah penawaran peti ais dengan suhu yang boleh diturunkan sehingga -5 darjah Celcius dengan kapasiti 8.6 liter untuk menyejukkan minuman dan juga 2 kusyen premium bagaikan berada di kabin kelas pertaa penerbangan.
Meja lipat turut disediakan bagi tujuan meletak komputer riba atau untuk meletak makanan. Mungkin juga lebih daripada penerbangan kelas pertama
Ini kerana kusyen depan menawarkan ciri seperti urutan, penyejukan, pelarasan kuasa elektrik yang membolehkan anda berbaring terus semasa pemandu meneruskan perjalanan ke destinasi.

Dengan hanya satu butang elektrik, kusyen penumpang belakang bertukar menjadi ruang istirehat dengan kaki penumpang boleh diletak pada pelapik kaki yang turun dari kusyen depan
Nak lagi best tarik sahaja bidai sisi secara manual bagi menjadikan Zeekr 009 lebih selesa namun anda akan terkedu melihat lampu kabin yang disusun dengan cukup berseni pada kemasan pintu yang dibalut dengan baldu di bahagian belakang.
Untuk masuk ke bahagian belakang, dengan hanya 1 butang sahaja kusyen akan bergerak ke depan untuk memudahkan akses penumpang
Walaupun tiada perehat tangan yang disediakan untuk penumpang barisan ke tiga, ketinggian kusyen adalah selesa dan tidak menyebabkan lutut anda terjungkit ke atas dan penulis yakin ia cukup selesa untuk penumpang dewasa walaupun untuk perjalanan jarak jauh.

Ruang ini masih ditawarkan dengan bidai, suis kawalan penyaman udara dan poin USB menjadikan ruang ini ibarat kelas Premium Economy
Dalam sesi ujian memandu media dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang, penulis sempat merasai pengalaman memandu MPV mewah elektrik sepenuhnya dalam sela masa yang agak singkat dan terhad melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Berikut ialah pengamatan penulis bagi Zeekr 009
1. Semua varian ditawarkan dengan 2 motor elektrik, dan Zeekr 009 mampu memecut dari 0-100km/jam dalam masa 4.5 saat. tapi memandangkan ini adalah MPV mewah dan bukannya kereta sport, penulis tidak melakukan pecutan brutal.
Namun jika anda perlu mendaki atau memotong kenderaan yang lebih perlahan, Zeekr 009 langsung tiada masalah. Halaju tertinggi dihadkan kepada 190km/jam sahaja dan kami sempat meguji kelajuan ini sebentar untuk memastikan data yang diberikan adalah tepat.

Pada halaju kebangsaan 110-120km/jam, penggunaan tenaga elektrik adalah sekitar 22.5kWh/100km. MPV ini boleh sampai ke hotel tanpa perlu dicaj ketika perjalanan. Ini bermakna, ia boleh dipandu sejauh 515km dalam keadaan sebenar tanpa masalah
2. Brek -walaupun berat Zeekr 009 menghampiri 3000kg, namun prestasi brek adalah cukup memuaskan. Respon awal brek adalah bagus dan penulis tidak perlu menghenyak pedal brek bagi memastikannya berhenti dengan segera.
Namun bagi sistem brek regeneratif, ia tidak boleh dimatikan dan hanya menawarkan 2 tetapan sahaja samaada High atau Low. Pendek kata brek regenratif Zeekr 009 bukanlah ideal bagi penulis

3.Suspensi – terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan samaada Sport, Comfort atau Normal serta Individual. Bagi pemanduan yang ideal, penulis akan menetapkan respon motor elektrik pada Eco, sistem suspensi direndahkan dan berada dalam keadaan Sport. Keadaan ini akan mengurangkan olengan cesi dan menjadikan Zeekr 009 lebih stabil
Platfrom Zeekr 009 dibekalkan dengan suspensi udara dengan ketinggian boleh laras dan penyerap hentak boleh laras. Dalam keadaan Normal atau ECO, penulis rasakan tetapan penyerap hentak adalah terlalu lembut untuk penulis
4. Ciri keselamatan -Zeekr 009 ditawarkan dengan sistem pemanduan sendiri atau ADS tahap 2 termasuklah penggunaan radar jarak jauh yang boleh mengesan objek sehingga 250 meter ke depan. Ini menjadikan operasi pemanduan adaptif, Lane Keep Assist dan Lane Change Assist beroperasi dengan sangat lancar

Jika anda boleh terima kelemahan Zeekr 009 dalam aspek brek regeneratif dan suspensi yang agak lembut, anda berpeluang memiliki sebuah MPV elektrik mewah bersaiz besar pada harga yang sangat mengiurkan
Tapi ingat, anda hanya ada masa sehingga penghujung bulan 12 tahun 2025 sahaja. Jadi fikir masak-masak ye