Artikel Pilihan

10 BMW M5 SPECIAL EDITION PALING PAYAH NAK JUMPA

SHARE

BMW M5 memang merupakan sebuah kereta yang istimewa. Ia merupakan model yang membuka jalan kepada sedan mewah dengan prestasi sebuah supercar dan dipelopori poleh BMW lebih dari 30 tahun dulu. Kini ia sudahpun memasuki generasi keenam dan buat pertama kalinya dilengkapkan dengan sistem pacuan-semua-roda.

Tapi sepanjang sejarah pengeluarannya terdapat beberapa model istimewa edisi terhad yang dihasilkan dalam jumlah yang sangat kecil. Ini adalah antara model model tersebut.

BMW 520 MLE E12 1976

Sebelum M5, BMW telah menghasilkan M535i. Ia merupakan model berprestasi tinggi M-Performance yang diasaskan daripada model E12 5-Series. Model inilah yang kemudiannya menjadi nenek moyang kepada kereta-kereta M BMW yang terkenal.

Tapi sebelum M535i menakluk dunia, Afrika Selatan telah pun menghasilkan sebuah 5-Series khas untuk perlumbaan. Ini kerana Afrika Selatan cukup aktif dengan perlumbaan dan e12 5-Series merupakan pencabar utama. Untuk menghasilkan model homologasi, BMW Afrika Selatan dengan bantuan BMW European Sport Division dan AC Schnitzer telah menghasilkan model-model 530 MLE (Motorsport Limited Edition) sebanyak 218 unit.

Ia menampilkan kit badan yang lebar, rim Chaparral dan berat keseluruhan yang lebih ringan dengan penggunaan aluminium dan panel badan yang lebih tipis. Enjin 3.0-liternya mampu menghasilkan 270 hp tetapi untuk versi jalanan ia dihadkan kepada 177 hp sahaja. Ia dihasilkan 3 tahun sebelum M1 dan secara teknikalnya ini ialah kereta-M BMW yang pertama.

E34 M5 Winkelhock Edition 1991

Pada tahun 1991, BMW meminta dua orang pelumba membuat rekaan versi E34 M5 yang ideal mengikut fikiran mereka. Salah seorang darinya ialah Joachim Winkelhock, bekas pemandu F1 yang memenangi perlumbaan Nurburgring 24-jam dengan memandu M3 pada tahun 1990 dan 1991.

M5 ini diringankan beratnya dengan penggunaan tangki minyak dan bateri yang lebih kecil selain perhapusan beberapa peralatan lain yang dikira kurang penting. Antara yang dibuang keluar ialah material kalis bunyi, perehat kepala belakang, suis tingkap belakang dan foglight.

Ia kemudian dilengkapkan dengan tempat duduk Recaro, roda stereng M-Technic II, tayar yang lebih lebar dan macam-macam lagi. 51 unit dihasilkan dengan warna Jet Black dan trim bawah berwarna perak.

BACA: FERRARI TANPA CUKAI JALAN 10 TAHUN DITAHAN DALAM SATU OPERASI

E34 M5 Cecotto Edition 1991

Seorang lagi pemandu yang diminta membuat rekaan M5 ini ialah pelumba F1 Venezuela Johnny Cecotto. Berbeza dari Winkelhock, Cecotto mahukan M5 beliau lebih mewah jadi ia dilengkapi dengan kemasan dari kulit Nappa dwi-warna, tempat duduk hadapan dengan pemanas dan memori untuk pemandu, kemasan kayu, sunroof berkuasa dan penyaman udara automatik.

Ia dihasilkan sebanyak 22 unit sahaja dengan pilihan warna Lagoon Green ataupun Mauritus Blue menjadikan ia lebih rare berbanding edisi khas Winkelhock.

E34 M5 20 Jahre Motorsport Edition 1992

Ini model untuk menyambut ulangtahun ke 20 kelahiran BMW Motorsport Division. Mereka telah mengeluarkan 20 unit model edisi terhad yang dinamakan M5 20 Jahre Motorsport Edition. Ia diasaskan daripada model E34 M5 spesifikasi Eropah dan hanya ditawarkan dengan warna Mugello Red.

Ciri istimewa lain termasuklah kemasan gentian karbon pada papan pemuka, talipinggang keledar berwarna merah dengan sulaman “BMW Motorsport”, cermin pandang belakang M-Technic dan kemasan Alcantara di bahagian dalaman.

E60 M5 CSL 2009

Jika E39 dianggap sebagai sebuah M5 yang sempurna oleh banyak pihak, E60 pula diingati kerana menggunakan enjin 5.0-liter V10 yang mampu menghasilkan 500 hp kuasa. Tentulah ia perlukan kuasa yang banyak kerana ini ialah tanda bermulanya generasi M5 yang berat dan bukan lagi model lightweight seperti asal.

Untuk menyambut 25-tahun M5, BMW menghasilkan sebuah model istimewa yang dinamakan M5 CSL. Ia tidak pernah dijual dan menggunakan bahagian bumbung gentian karbon untuk pengurangan berat. Enjinnya ditambah kepada 5.5-liter dan kuasa maksimanya juga naik kepada 580 hp. M5 CSL ini mencatat masa sepusingan terpantas 7:50, 23 saat lebih laju dari M5 standard di litar Nurburgring.

E34 M5 Naghi Motor Edition 1992

M5 yang ni special sikit sebab ia dihasilkan atas permintaan Naghi Motors, pengimport BMW untuk pasaran Arab Saudi. Kira M5 Arab la ni. 15 unit dihasilkan dengan spesifikasi khusus untuk negara Teluk tersebut dan tidak mempunyai pengubah pemangkin. Kuasanya masih dikira dalam kuasa kuda dan bukannya kuasa unta okey.

Setiap model Naghi ini dilengkapi spoiler belakang M, kemasan dalaman Shadowline dan pelbagai ciri lain untuk memadankannya dengan warna dalaman. Sebaik tiba di Arab Saudi, Naghi Motor menambah pelekat 3-warna M pada bahagian bonet depan dan roda stereng kulit berwarna merah selain plat-plat pelindung khas pada bahagian pemijak pintu.

E34 M5 Touring Elekta 1995

E34 M5 Touring memang sangat terhad bilangannya dan diburu oleh pengumpul di seluruh dunia. Hanya 891 unit dihasilkan dan kesemuanya merupakan model pemanduan di sebelah kiri. Tapi dari jumlah tersebut rupanya ada 20 unit keluaran 1995 yang super terhad bilangannya.

Ia dinamakan M5 Touring Elekta dan kesemua 20 unit merupakan model khas Itali. Ia dihasilkan dalam warna Sterling Silver dan British Racing Green dengan penambahan elemen kulit yang mewah di bahagian dalaman. Tapi sebenarnya ia bukanlah dihasilkan oleh BMW M tetapi lebih kepada pesanan peribadi dan sekumpulan pengedar BMW di Itali.

E39 M5 Touring 1998

E39 M5 memang telah dianggap sebagai model terbaik keluaran BMW M walaupun ditentang hebat oleh E46 M3 CSL. Dengan enjin 4.9-liter V8, E39 M5 mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat dan membuat catatan sepusingan litar Nurburgring dalam masa 8:20. Ramai peminat menunggu dengan sabar untuk model Touring E39 M5 dan BMW hampir melakukannya.

Tapi model ini tidak pernah memasuki tahap produksi walaupun sebuah prototaip penuh dihasilkan oleh BMW. Ia didedahkan pada ulang tahun BMW M5 ke-25 bersama-sama dengan E34 M5 Convertible. Gambar prototaip ni pun susah nak dapat sebab tu ada gambar dari belakang je.

E34 M5 Convertible 1992

Sebelum wujudnya M6 Convertible, BMW bermain-main dulu dengan idea menggunakan model M5 sedia ada sejak dari generasi E34. Tahun 1992 mereka telah menghasilkan sebuah prototaip penuh dengan enjin 3.5-liter sebaris 6 dengan rekaan badan yang sama dengan M5 standard. Bezanya model ini mempunyai cermin hadapan yang lebih condong. Penambahan struktur logam untuk keselamatan di bahagian sisi menggantikan bumbung dan bumbung soft-top berkuasa menambah lagi berat pada M5 Convertible ini. Ia bagaimanapun tidak diluluskan oleh BMW untuk produksi kononnya akibat kos.

F10 M5 Pure Metal Edition 2015

Oktober 2015, sekali lagi BMW mengumumkan model M5 edisi khas untuk pasaran Afrika Selatan. Hanya 20 unit dihasilkan menjadikan M5 Pure Metal Edition ini sangat eksklusif. Ia dibekalkan dengan enjin 600 hp dan pelbagai aksesori yang sama dengan M5 Competition termasuklah brek cakera karbon dan Active-M Differential. Bahagian dalam diberi kemasan Dark Aluminium Trace dan plak istimewa ‘PURE METAL X/20’.

Tiba-tiba pada Julai 2016, sekali lagi Pure Metal Silver limited edition keluar pula untuk pasaran AS. Kuat main juga BMW ni. Kali ini dengan 50 unit dengan spesifikasi yang sama. Maklumlah benda boleh buat duit kan? Tapi versi Afrika Selatan jauh lebih terhad dengan jumlah 20 unit menjadikannya lebih eksklusif.

Kredit Carbuzz.com

Tags
Google ads
Back to top button