
10 FAKTA MENARIK MAZDA CX-60 YANG PERLU ANDA TAHU
Untuk pasaran Eropah, Mazda telah melancarkan sebuah model SUV baharu yang diberikan nama CX-60, selepas pelancaran CX-50 di Amerika Syarikat.
Tidak seperti CX-50 yang ranggi, CX-60 pula membawakan rupa paras yang lebih elegan, sesuai dengan hala tuju Mazda untuk menjadi jenama yang lebih premium sebaris dengan Lexus pada masa akan datang.
Berikut merupakan 10 perkara yang perlu anda tahu pasal Mazda CX-60.
1.Dibangunkan atas pelantar pacuan roda belakang Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture. Dimensi 4,745 mm x 1,890 mm x 1,680 mm dengan jarak wheelbase 2,870 mm. Senang cerita lebih besar berbanding CX-50.

2.Biarpun lahir dari platform pacuan roda belakang, kesemua varian CX-60 didatangkan standard dengan pacuan semua roda i-Activ, serta mod pemanduan Normal, Sport, Off-road, Towing dan EV.
3.Ya, sebut pasal mod EV, CX-60 merupakan SUV plug-in hybrid pertama Mazda, dengan nadi Skyactiv-G 2.5 liter (189 hp, 261 Nm) + motor elektrik (134 hp, 250 Nm) dengan kuasa gandingan setinggi 323 hp dan 500 Nm, serta pek bateri 17.8 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi 60 km.
4.CX-60 PHEV juga merupakan SUV yang paling berkuasa pernah dihasilkan, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat sahaja.

5.Selain trenkuasa PHEV itu tadi, Mazda CX-60 juga turut mendapat penawaran enjin e-Skyactiv X enam silinder sebaris petrol dan diesel, dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 V. Angka kuasa tidak didedahkan buat masa ini.
6.Jimat bahan api, boleh dapat bacaan serendah 1.5 liter untuk setiap 100 km!
7.Sistem gantungan double wishbone di depan, dan multi-link di belakang, serta ciri Kinematic Posture Control (KPC, bukan KFC) yang mampu menstabilkan SUV ini dengan mengurangkan kesan olengan.

8.Sarat dengan ciri keselamatan terkini, seperti kamera 360 darjah, brek kecemasan automatik depan dan belakang dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan fungsi di persimpangan, kawalan jelajah adaptif dan banyak lagi.
9.Selain Eropah, Mazda CX-60 dijangka mendarat di pasaran Jepun dan Australia.
10.Harga jualan di Eropah bermula dari £43,950 (RM241k).























