
FAW BESTUNE XIAOMA BAKAL DILANCARKAN DI CHINA TAHUN INI, BERSAING DENGAN WULING HONGGUANG MINI EV
FAW Group baru-baru ini mendedahkan model ‘city car’ baharu iaitu Bestune Xiaoma dan bakal bersaing dengan Wuling Hongguang MINI EV.
FAW Bestune Xiaoma mempunyai dimensi 3,000mm (panjang), 1,510mm (lebar), 1,630mm (tinggi) dan jarak roda pada 1,953mm.
Sebagai perbandingan, model ini adalah 83mm lebih panjang, 17mm lebih lebar serta 9mm lebih tinggi berbanding Wuling Hongguang Mini EV.

Dari segi penampilan, ia didatangkan dengan reka bentuk tipikal kereta bandar, berkotak, lampu hadapan serta belakang berbentuk segi empat tepat selain, terdapat logo Bestune.
Menjengah dalam kabin, tiada pendedahan rasmi dibuat namun ia dijangka dimuatkan bersama panel instrument LCD, stereng dua jejari, tempat duduk jenis kulit serta dilengkapi port-pengecasan USB.
FAW Bestune Xiaoma dijana oleh motor elektrik 27hp daripada syarikat Shuanglin yang turut membekalkan motor elektrik kepada Chery dan SGMW.

Walau bagaimanapun, rangkaian kuasa ini amat lemah. Hasilnya, kelajuan tertinggi Bestune Xiaoma hanya mampu mencapai 100 km/j.
Bagi bateri kenderaan elektrik ini, ia adalah pek LFP daripada REPT, pembekal SAIC, FAW, Dongfeng, Geely dan syarikat lain. Kapasitinya bagaimanapun masih belum didedahkan oleh FAW.
Selain itu, Bestune Xiaoma mempunyai beberapa ciri menarik seperti kamera hadapan, perakam video terbina dalam dan kamera pandangan belakang.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh dilengkapi dengan pakej penggayaan luaran.
FAW Bestune Xiaoma akan memasuki pasaran China tahun ini dan bakal memberi saingan kepada Chery QQ Ice Cream, Changan Lumin serta SAIC Roewe Clever.