Buletin

21 CEDERA KAPAL PERANG TERBAKAR DAN MELETUP DI SAN DIEGO

Sebuah kapal perang, USS Bonhomme Richard yang berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di San Diego, terbakar dan meletup mengakibatkan 21 orang cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kapal penyerang amfibia yang berlabuh untuk rutin penyelenggaraan itu terbakar sebelum ia meletup.

Kebakaran kapal perang mengakibatkan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar.

Sebanyak enam buah bot Jabatan Bomba telah bergegas memadamkan kebakaran kapal perang itu.

Menurut kenyataan Tentera Laut Amerika Syarikat, sebanyak 17 tentera dan empat orang awam telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Begitupun, ia tidak melibatkan kecederaan serius yang boleh mengancam nyawa.

Ketika kejadian terdapat kira-kira 160 kakitangan yang berada di kapal perang berkenaan.  

Jurucakap Tentera Laut Amerika Syarikat di Pentagon, Laksamana Muda Charles Brown berkata kebanyakkan kelasi mengalami cedera ringan akibat melecur dan terhidu asap berlebihan.

Pada kebiasaannya, kapal perang ini menempatkan kira-kira 1,000 anak kapal.

Sementara itu, jurucakap Tentera Laut berpangkalan di San Diego, Mike Raney berkata punca kejadian masih belum dapat dikenalpasti tetapi tiada bukti menunjukkan terdapat perbuatan khianat. –reuters.

Google ads
Back to top button