Artikel Pilihan

5 ENJIN LEJEN YANG PERNAH DIGUNAKAN OLEH PROTON WAJA

Proton Waja adalah salah satu produk yang menjadi kebanggaan rakyat ketika ia dilancarkan pada tahun 2002. Dengan lampu depan projektor, rekaan jeriji yang menawan dan bahasa rekaan yang baru, ia menjadi penanda aras bahawa Proton memang boleh menghasilkan kereta sendiri

Ini kerana, Proton hanya dilihat menjalankan aktiviti rebadge sahaja ketika Mitsubshi menjadi rakan teknikal mereka. Namun sebenarnya Mitsubishi memang mengajar Proton bagaimana untuk memasang kereta serta ilmu berkenaan dengan proses pembuatan.

Namun jika diteliti, Lotus adalah entiti yang mengajar Proton bagaimana untuk menghasilkan kenderaan bermula dengan sehelai kertas kosong. Plarform Proton Waja adalah platform yang cukup canggih pada ketika itu, berkongsi platform dengan Volvo S40 dan juga Mitsubishi Carisma.

Sepanjang pengeluarannya daripada tahun 2000 ke tahun 2013, Proton Waja telah dihasilkan dengan menggunakan beberapa pilihan enjin yang dihasilkan oleh Mitsubishi dan juga Proton sendiri. Antara enjin-enjin yang pernah digunakan oleh Proton Waja adalah:

1. 1600cc 4G18 – enjin pertama Waja yang dibekalkan oleh Mitsubishi kerana pada waktu itu enjin Campro yang dibangunkan oleh Proton masih belum siap. Berbeza dengan enjin 4G92 yang menggunakan asas Orion, enjin 4G18 adalah enjin yang lebih baru diperkenalkan oleh Mitsubishi pada tahun 1996 dengan teknologi Mivec, suntikan bahan api dan pilihan mekanikal SOHC atau DOHC

Namun enjin Waja yang pertama ini ditawarkan dalam varian yang paling asas tanpa Mivec dan juga DOHC, menawarkan hanya 102 kuasa kuda dan 140Nm tork pada 2750 RPM. Berbanding dengan enjin 4G92 yang menawarkan 111 kuasa kuda dan 137Nm tork.

Tork enjin ini direka lebih berkuasa kerana lejang enjin lebih besar berbanding dengan diameter (81mm x 77mm). Tapi enjin ini lebih bersih dan lebih bersedia untuk dipasarkan ke negara Eropah. Tetapi dengan berat kasar 1185kg (lagi berat dari Wira) maka prestasi enjin ini agak “kureng” walaupun operasi enjin pada RPM bawah adalah bagus dan lancar

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 12 saat dan halaju tertinggi ialah 186km/jam. Keadaan ini juga menjadikan penggunaan bahan api Waja kurang memuaskan disebabkan enjin yang sedikit “underpower”. Serentak dengan pelancaran model Waja, Proton menamatkan pengeluaran Wira 1.6XLi

2. 1800cc Renault F4P D4- pada tahun 2002, Proton menawarkan varian 1.8 dengan enjin yang lebih besar diambil daripada Renault. Ia menawarkan kuasa yang lebih baik iaitu 118 kuasa kuda dan 169Nm tork pada 5750RPM dan masih menggunakan timing belt

Banyak persoalan seperti kenapa Proton tidak menggunakan enjin Mitsubishi 1800cc 4G93 atau 1800cc 4G94 tidak digunakan, sebaliknya Proton memilih untuk menggunakan enjin Renault yang terkenal di kalangan pemilik bengkel. Namun enjin ini adalah enjin DOHC 16 injap, sistem VVT dan Drive by Wire

Tetapi dengan berat kasar varian mencapai 1250kg, prestasi enjin ini adalah hampir sama dengan varian 16 iaitu pecutan 0-100km/jam dalam masa 13 saat dan halaju tertinggi 186km/jam

3. 1600cc CamPro S4PH- enjin yang dihasilkan dengan kerjasama antara Proton dan Lotus dengan CamPro membawa maksud Cam Profile dilancarkan pada tahun 2006. Enjin 1600cc DOHC 4 silinder ini menjana 110 kuasa kuda dan 148Nm tork pada 4000 RPM, lebih kuat dari enjin 4G18 yang dibekalkan oleh Proton

Dengan teknologi Drive by Wire, enjin ini mampu membuatkan Waja memecut 0-100km/jam dalam masa 12 saat dan mencapai halaju tinggi pada 190km/jam. Dengan mekanisme DOHC, ramai pemilik merasakan enjin ini “lebih hidup” pada kelajuan tinggi berbanding dengan enjin 4G92.

Tapi sayang enjin S4PH tiada Variable Intake Manifold (VIM) dan juga mekanisme comprofile switching walaupun dinamakan CamPro. Akibatnya enjin ini mengalami masalah tork dip antara 2500-3500 RPM dimana “mid range” RPM ini adalah penting dan biasa digunakan. Akibatnya enjin ini terasa lemau pada RPM bawah dan pertengahan

4. 1600cc Campro CPS – dilancarkan pada tahun 2008 bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh versi awal enjin CamPro. Tapi kali ini ia dibekalkan dengan sistem VIM (yang boleh mengubah panjang perongga kemasukan udara panjang atau pendek bergantung pada operasi enjin)

Kehadiran sistem VIM dan juga sistem CPS 2 lobe (satu untuk RPM rendah dan satu untuk RPM pertengahan dan atas) menjadikan enjin ini lebih berkuasa, menjana 125 kuasa kuda dan 150Nm tork. Sistem VIM akan dipendekkan pada 4800 RPM manakala CPS akan bertukar profail pada 3800 RPM

Kedua dua sistem berupaya mengatasi masalah tork dip, memendekkan masa pecutan 0-100km/jam kepada 11.5 saat dan halaju tertinggi dicapai pada 190km/jam

5. V6 2000cc – ya bayangkan enjin Perdana V6 dimasukkan pada model Waja dan dijual secara rasmi oleh Proton. Enjin V6 yang dibekalkan oleh Mitsubishi ini menjana 148 kuasa kuda dan 179Nm tork, dipasang khas pada Waja Limosine dengan jarak antara roda 2850mm (lagi panjang dari Toyota Innova)

Waja Limosine atau Proton Chancellor ini dilancarkan pada tahun 2005 dan dipadankan dengan kotak gear 4 kelajuan automatik yang sama dengan Perdana. Ia digunakan sebagai kenderaan rasmi mesyuarat Asean pada tahun 2005 sebelum dijual pada tahun 2006 dengan harga RM 138,000

Ia bukanlah kenderaan untuk rakyat biasa, sebaliknya digunakan oleh pegawai kerajaan dan juga syarikat korporat. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 13 saat dan halaju tertinggi ialah 205km/jam.

Google ads
Back to top button