
GEELY SAMAN WM MOTOR, TUNTUT PAMPASAN RM1.2 BILION
Zhejiang Geely Holding Group Co., (Geely) dilapor telah menyaman sebuah syarikat startup kereta elektrik WM Motor kerana melanggar rahsia perniagaan dan menuntut pampasan sebanyak 2.1 bilion yuan (RM1.2 bilion).
Mahkamah Tinggi Rakyat Beijing dijadual mula mendengar kes itu pada 17 September depan.

Dalam maklum balasnya kepada laporan media mengenai saman berkenaan, WM menafikan dakwaan Geely dan yakin ia akan memenangi kes tersebut.
Saman difailkan oleh Geely Group dan institut penyelidikannya pada tahun 2018 ke atas WM serta tiga anak syarikatnya. Ini melibatkan kilang pemasangan di bandar Wenzhou, penyedia mobiliti yang berpangkalan di Shanghai dan sebuah syarikat menjual kereta elektrik.
WM ditubuhkan di Shanghai pada tahun 2016. Pengasasnya, Freeman Shen dan dua orang lagi eksekutif kanannya pernah bekerja dengan Geely Group. Shen menyertai Geely Group pada tahun 2009 dan dilantik sebagai Presiden Volvo Car Group China selepas Geely membeli pembuat kereta Sweden itu daripada Ford Motor Co.
Pengasas Bersama dan Naib Presiden Kanan WM, Lu Bin sebelum ini menjawat jawatan Naib Presiden Geely Automobile Holdings, sebuah anak syarikat Geely yang berdaftar di Hong Kong.
Manakala Ketua Pegawai Kewangan WM, Zhang Ran pula menjawat jawatan sama ketika bekerja dengan Geely Automobile Holdings.
- BACA: GEELY DAN PROTON, CABARAN YANG MULA MEMBUAHKAN HASIL
- BACA: PROTON PERSONA HYBRID MUNGKIN LAHIR DARI MODEL INI – GEELY BIN RUI
- BACA: SUV COUPE GEELY XING YUE DILANCARKAN DI CHINA. 4 PILIHAN ENJIN, PENJIMATAN MINYAK 1.2L/100KM!
- BACA: GEELY MULAKAN PEMBINAAN KILANG BERNILAI RM5.4 BILION – BAKAL HASILKAN LOTUS DAN JENAMA MEWAH LAIN DI SANA