Artikel Pilihan

9 KUNCI KERETA YANG PALING MENARIK PERNAH DIHASILKAN

Apakah bahagian kereta yang paling membosankan tapi pada masa yang sama ia cukup penting? Banyak kan? Tapi bagi kami sendiri biasanya kunci kereta itu sendiri. Sekarang banyak yang direka dengan cantik dan lawa tapi cuba tengok kunci Kancil generasi pertama besi nipis sekeping je. Punyalah boring tengok tapi kalau hilang memang sedih la.

Kini banyak kereta dah menggunakan sistem tanpa wayar jadi kuncinya direka sebaik mungkin agar nampak bergaya dan moden. Kaki MLM memang tahu betapa pentingnya kunci kereta untuk memancing mangsa. Kunci kereta H pula memang berkesan kalau nak dapat awek (bukan semua awek). Lagi tak senonoh bila ada yang guna kunci untuk korek telinga. Pengotor betul.

Ini ada beberapa koleksi yang kami mengidam betul nak dapat. Kalau dapat sekali dengan kereta lagi bagus. Ada yang harga kuncinya sama harga dengan rumah banglo di Kuala Lumpur.

Tesla Model S

Walaupun sekali tengok ia kelihatan macam rewinder pita VHS tahun 90-an dulu, kunci Tesla Model S ini memang cantik dan menawan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh digunakan untuk memanggil kereta anda. Bila letak atas meja solek mesti ada yang ingat ini bekas bedak muka bini Pak Amid keluaran Perancis.

Kunci Honda NSX generasi pertama

Ada yang mengatakan Honda NSX generasi pertama menggunakan kunci titanium yang sangat mahal. Ia juga tidak boleh disalin seperti kunci lain kerana ianya dihasilkan dari titanium. Tetapi sebenarnya ia bukannya dihasilkan daripada titaniun pun tapi sebaliknya sejenis logam aloi yang dinamakan Monel. Walaupun ia sama seperti kunci kereta Honda Accord CB3 Pak Tamin dulu tapi warnanya yang berbeza membuatkan ia nampak simple dan elegan, sama seperti Honda NSX itu sendiri.

Kunci Porsche 911 keluaran Formawerx

Populariti Porsche 911 membuatkan pelbagai syarikat menghasilkan lambakan aksesori untuk model ini. Malah terdapat juga syarikat yang menghasilkan kunci khusus untuk kereta ini dan antara yang tercantik adalah keluaran syarikat Formawerx. Kunci keluaran mereka dihasilkan dari blok padu logam tahan karat 303 dan dibentuk sehingga rapi siap dengan enam lubang yang melambangkan enjin flat-six 911. Harga untuk seunit kunci ini ialah sekitar RM1000-1300. Tak mahal sangat kan?

Kunci BMW terbaru

Kunci daripada BMW memang selalunya menarik tetapi kini ia bukan hanya cantik dan berfungsi dengan baik tapi ia juga lengkap dengan skrin sentuh. Dah macam telefon pintar pun ada. Ia cukup high-tech dan mesti termasuk dalam senarai ini.

BACA: LIMOSIN HEBAT INI ASALNYA IALAH SEBUAH JET PERIBADI YANG SEBENAR

Nissan 300ZX

Nissan 300ZX hadir sezaman dengan Mazda RX-7 dan Toyota Supra tetapi antara ketiga model tersebut, Nissan mempunyai kunci paling hebat. Ini kerana ia memang dihasilkan daripada titanium dan mempunyai rekaan futuristik yang sesuai dengan 300ZX yang telah mencetuskan revolusi teknologi automotif baru awal 90-an dengan pengenalan sistem turbo berkembar dan 4-wheel steering.

Mercedes-Benz

Mercedes memulakan trend penggunaan sistem bebas kunci pada penghujung 90-an dan kini ia menjadi ciri biasa untuk kenderaan moden. Versi awal kunci bebas tangan mereka tidaklah secantik mana tetapi ia merupakan cebisan sejarah dunia automobil yang tidak wajar dilupakan. Nak masuk dalam dompet pun tak sesuai sebenarnya kerana ia agak tebal. Tapi semua buku sejarah pun tebal kan?

Kunci Ferrari

Mana boleh lengkap koleksi tanpa satu set kunci dari Marenello. Banyak pilihan aftermarket yang meniru rekaan kunci asal Ferrrai. Hampir sama banyaknya dengan t-shirt Ferrari copy ori dari Guangzhou tapi kunci OEM keluaran awal tahun 2000 memang cukup bergaya. Bukan itu sahaja, kalau hilang gantiannya agak mahal. Contoh terbaik ialah satu unit yang sedang dilelong di Ebay dengan harga sekitar RM10,000 seunit. Ini baru hobi kami mahal.

Kunci Rotary Mazda

Kunci asal Mazda RX-7 memang amat biasa lagi membosankan dan memang tidak kena dengan prestasi keretanya yang cukup hebat. Pilihan terbaik kami ialah kunci aftermarket ini yang boleh diperolehi di Amazon dan berbentuk seperti piston enjin rotary. Ia sekaligus memudahkan anda untuk bercerita tentang enjin hebat ini jika ada sesiapa yang bertanya.

Kunci Platinum Koenigsegg

Mana lengkap senarai kunci-kunci hebat ini tanpa kunci kereta termahal di dunia. Kunci standard Koenigsegg yang berbentuk seperti perisai sememangnya cukup hebat tetapi kunci tempahan khas yang diperbuat dari gabungan platinum dan berlian ini memang lain dari yang lain. Ia dihasilkan khusus untuk seorang pemilik Koenigsegg Agera beberapa tahun dulu dengan harga yang mencecah RM1juta. Pergh…kuncinya sahaja dah boleh beli Ferrari sebijik bak hang.

Google ads
Back to top button