Buletin

ADRIAN VAN HOOYDONK & REVOLUSI BMW: NEUE KLASSE BAKAL UBAH SEGALANYA

Saat-saat seperti ini bukan datang setiap hari. Malah, menurut Adrian van Hooydonk—nama besar di sebalik reka bentuk BMW moden—ia bukan berlaku setiap dekad pun. Tetapi kini, semuanya bakal berubah. Ini satu revolusi.

“Saya rasa dalam semua tahun saya di BMW, saya tak pernah lihat satu projek yang ada momentum dan impak sebesar ini,” ujar van Hooydonk.

Yang dimaksudkannya itu adalah pelancaran Neue Klasse—generasi baharu kereta elektrik (EV) BMW yang bakal tiba pada tahun 2025.

Menurutnya, ini bukan sekadar barisan EV baharu. Ini pelancaran semula jiwa BMW dari dalam ke luar. Ini adalah isyarat bahawa syarikat Jerman itu bersedia menulis bab baru, bermula dari kosong.

“Reka bentuk baharu ini akan jadi 100 peratus BMW—atau mungkin 110 peratus,” kata van Hooydonk. “Kami ambil inspirasi daripada pendekatan Marcello Gandini… bahasa reka bentuk kali ini akan jadi lebih ringkas berbanding apa yang anda biasa lihat, tapi tetap 100% dikenali sebagai BMW.”

Bercakap tentang satu perubahan besar, dari setiap aspek teknologi hingga ke butiran paling kecil dalam reka bentuk. “Segalanya akan berubah,” katanya, dan ini bukan hiperbola semata.

Van Hooydonk bukan orang baru dalam dunia BMW. Beliau mula menyertai syarikat itu pada 1992, selepas tamat pengajian di Delft Polytechnic University dalam bidang reka bentuk industri.

Sejak itu, beliau telah menyaksikan segala-galanya, daripada kelahiran ikon seperti BMW i8 hinggalah kepada percubaan berani dengan gril gergasi 4 Series dan reka bentuk ‘marah’ BMW XM.

Kini sebagai Pengarah Reka Bentuk BMW Group, beliau mengetuai BMW, MINI dan juga Rolls-Royce.

Tetapi Neue Klasse ini lain. Ia bukan sekadar model baru—ia satu homage kepada sejarah BMW itu sendiri.

Nama Neue Klasse pernah wujud dulu, dilahirkan pada 1962 dan menjadi penyelamat BMW daripada keruntuhan. Model-model seperti 1500 dan 2002 ketika itu membawa inovasi luar biasa: enjin M10, suspensi MacPherson, dan elemen reka bentuk klasik seperti Hofmeister Kink.

Jadi, bagaimana nak imbangkan sejarah penuh beban dengan harapan masa depan?

“Kami tanya diri sendiri—bagaimana nak bawakan intipati sebenar BMW dengan lebih sedikit elemen, kurang garis, dan kurang perincian? Dan saya rasa kami berjaya,” kata van Hooydonk.

Reka bentuk kali ini lebih bersih, lebih ringkas, lebih tajam. Wedge design adalah kata kunci. Beliau memuji konsep Lancia Stratos Zero oleh Bertone sebagai reka bentuk abadi, dan walaupun Neue Klasse tak tiru secara langsung, falsafah minimalis futuristik itu menjadi nadi inspirasi.

“Neue Klasse merupakan satu langkah besar. Malah, ia akan kelihatan seperti kita melangkau satu generasi terus ke hadapan.”

Dalam dunia automotif yang cenderung main selamat, BMW berdiri sejajar dengan Hyundai sebagai pelopor reka bentuk yang tidak takut mencuba.

Ramai mengkritik gril M4. Ada yang mencemuh XM kerana saiznya. Tapi dalam dunia di mana kebanyakan jenama main ‘safe’, BMW memilih untuk ‘provoke, provoke, provoke’. Dan menurut van Hooydonk, itu bukan kerana degil.

“Kami tak buat keputusan reka bentuk dengan menutup telinga. Kami buat kajian pasaran, kami dengar pelanggan. Kami tahu ramai tak suka gril 4 Series dulu, tapi lihat sekarang—jualan tetap bagus, dan maklum balas negatif itu pun dah senyap,” katanya.

Itu yang memberinya ruang untuk bereksperimen. Dan untuk Neue Klasse, beliau ada satu lagi kad rahsia:

“Kami akan gantikan elemen krom pada bahagian depan. Ini akan jadi wajah BMW baharu—masih dikenali, tapi langsung tak sama seperti yang anda pernah lihat.”

“Kami mungkin sudah wujud selama 110 tahun, tapi itu bukan jaminan orang akan beli produk kami. Satu-satunya jaminan adalah jika anda mahu jadi sebahagian daripada masa depan, anda perlu membentuknya sendiri.”

Google ads
Back to top button