Artikel Pilihan

ADVANCE SAFETY ASSIST, BAGAI MEMANDU DI SEBELAH ABAH…

Ketika Hyundai Ionic Hybrid dilancarkan pada 29 November 2016, itulah kali pertama penulis terdengar satu terma perkataan yang baru iaitu Autonomous Emergency Braking ataupun AEB. Atau di dalam bahasa melayu ia dipanggil Brek Kecemasan Otonomi yang akan melakukan proses brek walaupun tanpa input pada pedal brek daripada pemandu. Ia adalah satu pendekatan yang amat bagus sekarang memandangkan pemandu masa kini agak terganggu dengan karenah anak-anak yang mengamuk di dalam kereta dan juga bergosip politik di media sosial. Tengah-tengah sibuk mengutuk ahli politik, terus berdentum melanggar kereta di depan.

Dengan harga RM115,888 dan teknologi hibrid, bagi penulis ia adalah satu penawaran yang sangat bagus dari Hyundai memandangkan pelbagai fitur keselamatan turut diberikan. Namun lebih menghairankan lagi apabila Perodua Myvi 2018 turut menawarkan fungsi yang sama dengan harga jauh lebih murah dan mampu milik iaitu sekitar RM 52,186. Walaupun kurang canggih berbanding dengan Hyundai Smart Sense ataupun Honda Sensing namun ia masih menawarkan keupayaan membrek secara otonomi. Perodua menamakan sistem ini sebagai Advance Safety Assist dan ditawarkan hanya pada varian Myvi Advance dan juga Aruz Advance.

Kelebihan yang ada pada Perodua ialah apabila ia menjalinkan hubungan teknikal dengan Daihatsu, mereka dapat mengakses pada “part bin” yang turut dikongsi antara Daihatsu dengan Toyota. Maka pemindahan teknologi boleh berlaku dengan pantas. Daihatsu telah membangunkan sistem yang dikenali dengan nama Daihatsu Smart Assist dan sehingga kini sistem ini telah dikemaskini sehingga menjadi versi ketiga. Sistem ini telah diadaptasi oleh Perodua menjadi Advance System Assist.

Sistem ini bergantung pada unit kamera stereo yang dipasang pada cermin hadapan kereta Myvi dan juga Aruz. Kamera ini akan mengesan bentuk kereta ataupun pejalan kaki di hadapan, memberi input kepada sistem yang seterusnya akan memberikan amaran bunyi, visual, arahan membrek automatik dan juga berupaya mengurangkan kuasa enjin sekiranya diperlukan. 4 fungsi utama sistem ASA ialah Sistem Amaran Pra-Perlanggaran, Sistem Brek Pra-Perlanggaran, Sistem Amaran Pelepasan Hadapan dan juga Kawalan Kesilapan Pedal.

Sistem Amaran Pra-Perlanggaran akan memberi amaran pada pemandu jika ia mengesan kebarangkalian yang tinggi untuk berlakunya kemalangan. Apabila bergerak pada kelajuan antara 4km/j – 30km/j (Myvi) ataupun 4km/j – 80km/j(Aruz), jika sistem mengesan terdapat parameter yang akan menyebabkan kemalangan, sistem akan memberi amaran bunyi dan juga secara visual pada paparan meter kereta.

Bagi Perodua Aruz, ia memiliki ciri tambahan iaitu mampu mengesan pejalan kaki di antara kelajuan 4km/j-50km/j. Walaubagaimanapun fungsi ini tiada pada Perodua Myvi.

Sistem Brek Pra-Perlanggaran atau Sistem Brek Kecemasan Automatik akan diaktifkan sekiranya pemandu masih lagi leka dengan telefon pintar ataupun panik Walaupun amaran telah diberikan. Ia akan diaktifkan melalui 2 peringkat pelaksanaan sistem brek. Pada peringkat pertama, Primary Brake ataupun brek utama akan diaktifkan dengan tujuan untuk memperlahankan kereta anda 1.3 saat sebelum kemalangan berlaku. Sekali lagi lampu amaran akan menyala bagi memberi amaran kepada emandu tentang sistem brek yang sedang aktif.

Jika sistem mengenalpasti bahawa brek utama tidak berkesan, brek sekunder akan dibuat 0.8 saat sebelum kemalangan dan kereta akan berhenti sepenuhnya. Jika Myvi anda bergerak dibawah 20km/j, maka kereta akan dapat dihentikan sepenuhnya, atau jika halaju kereta melebihi 30km/j, maka kerosakan perlanggaran akan dikurangkan. Namun sistem ini tetap ada kelemahannya iaitu ia tidak akan berfungsi dalam sesetngah keadaan seperti terdapat input pada stering, pedal brek ataupun pedal minyak semasa sistem mula diaktifkan secara automatik.

Ia juga gagal bertindak sekiranya jarak antara kereta anda dan kereta depan berada terlalu rapat. Sistem ini juga tidak dapat mengenalpasti bentuk motosikal, basikal, lori pengangkut kereta, binatang ternakan, ketika menaiki cerun, jalan berselekoh, jalan tidak rata, ataupun terdapat Myvi lain yang mencilok di depan anda. Disebabkan sistem ini menerima input daripada kamera, ia tidak dapat membezakan pejalan kaki yang berjalan secara beramai-ramai atau membawa sebarang objek yang akan menyebabkan bentuk tubuh badan pejalan kaki berubah seperti menggalas beg.

Jangan tuan-tuan kutuk kelemahan kamera ini kerana kamera CCTV pun gagal mengecam muka pesalah yang tular dalam video baru baru ini.

Sistem Amaran Pelepasan Hadapan akan menghantar amaran bunyi pada pemandu yang terleka sekiranya ia mengesan terdapat ruang kosong sejauh 3 meter di hadapan kereta. Kamera akan memantau kereta di hadapan anda sejauh 10 meter dan sekiranya kereta di hadapan anda telah bergerak sejauh 3 meter ke hadapan, namun anda masih lagi belum memandu ke depan amaran bunyi dan juga visual akan diberikan pada paparan panel meter.

Kawalan Kesilapan Pedal merupakan satu fungsi keselamatan di mana sistem ASA akan mengurangkan kuasa enjin jika ia mengesan pemandu tanpa sengaja menekan pedal minyak. Ia akan mengurangkan risiko kecederaan dan juga kerosakan kereta dan harta benda disebabkan oleh pecutan secara tiba-tiba. Kamera ASA akan mengesan sebarang halangan dalam julat 4 meter ke hadapan dan jika pedal minyak ditekan, sistem akan menahan kuasa enjin dan menghalang kereta melanggar apa sahaja objek yang berada di depan kereta. Lampu amaran dan juga amaran bunyi akan diberikan kepada pemandu apabila sistem berfungsi. Sekiranya tiada penghalang tayar yang dipasang kereta akan tetap bergerak secara perlahan-lahan.

Namun anda perlu ingat bahawa sistem ASA tetap ada had operasinya sendiri dan tidak boleh digunakan sebagai “fool proof system” secara 100%. Pemandu wajib memandu secara berhemah dan sentiasa mengamalkan pemanduan selamat. Elakkan berlumba di jalan raya dan berhenti sekiranya ada tidak lagi mampu untuk memandu.

Google ads
Back to top button