Buletin

AIRASIA GROUP BHD CATAT KERUGIAN BERSIH RM967.15 JUTA AKIBAT COVID-19

Pandemik COVID-19 menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd, menyebabkan kumpulan syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM967.15 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM21.31 juta pada suku tahun sama tahun lalu.

Perolehan merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

“Kebimbangan mengenai penularan virus berkenaan, serta sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang diumumkan oleh kerajaan pelbagai negara menyebabkan permintaan terhadap perjalanan udara merosot pada Februari dan Mac 2020,” menurut kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada Bursa Malaysia.

Walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran besar, dengan kapasiti dan pengurusan kos yang proaktif, selain prestasi kukuh daripada perniagaan bukan syarikat penerbangan, AirAsia Group mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang pulang modal.

Bagi perniagaan syarikat penerbangan, jumlah perolehan kumpulan pada suku pertama 2020 susut 18 peratus kepada RM2.16 bilion tahun ke tahun dengan sekatan perjalanan yang meningkat dan tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan COVID-19.

Kumpulan telah memberi respons yang proaktif dengan pengurusan kapasiti, menunjukkan keputusan dengan suku pertama 2020 melaporkan faktor muatan yang baik sebanyak 77 peratus.

Pengurangan kapasiti sebahagian besarnya dari Malaysia dan Filipina, masing-masing sebanyak 17 peratus dan 1.0 peratus berikutan laluan domestik dan antarabangsa ditangguhkan pada pertengahan Mac.

Bagaimanapun, Indonesia meningkatkan kapasitinya sebanyak 10 peratus dengan mengatur lebihan kapasiti laluan antarabangsa kepada pasaran domestik.

Sementara itu, segmen bukan syarikat penerbangan menyaksikan Teleport mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 49 peratus kepada RM150.4 juta berikutan ia berjaya menyelesaikan penggabungan kargo dalam syarikat operasi syarikat penerbangan ASEAN kumpulan itu.

Big Pay mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 161 peratus berikutan ia mendapat tarikan dengan pengembangan koridor pengiriman wang termasuk India, Bangladesh dan Nepal, manakala perolehan AirAsia.com naik 118 peratus berikutan ia melancarkan tawaran baharu, promosi, pakej penerbangan dan hotel.

Saham syarikat penerbangan itu di Bursa Malaysia digantung pagi ini. Ia kali terakhir diniagakan pada 85.5 sen. – Bernama

Google ads
Back to top button