BENELLI LEONCINO 500 TAMPIL 3 WARNA BAHARU. RM29,288 SEUNIT
MForce Bike Holdings memperkenalkan model retro klasik Benelli Leoncino dengan tiga warna baharu iaitu merah, hijau dan kelabu matt.
Ditawarkan pada harga RM29,288 seunit, Leoncino merupakan antara model Benelli paling diminati di negara ini.
Jentera itu hadir dengan pelbagai teknologi moden untuk menjadikannya sebuah motosikal yang versatil. Ia telah direka bentuk semula oleh Centirostile Benelli di Itali, menghasilkan elemen tersendiri Leoncino, hasil inspirasi rekaan asalnya lebih dari seabad yang lalu.
Kehadiran ikon Singa Pesaro pada bahagian fender hadapannya menyerlahkan lagi keaslian reka bentuknya yang memberikan pengalaman tunggangan mengujakan.
Leoncino 500 dikuasakan oleh enjin empat lejang dwi silinder sebaris 499.6cc dengan sistem penyejukan cecair. Enjin berkuasa 35kW pada 8,500 rpm dan tork 45Nm itu kemudian dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Antara teknologi moden yang dipasang termasuklah lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, panel meter digital, fork hadapan terbalik (USD) dan suspensi belakang monoshock boleh laras.
Brek hadapan cakera bersaiz 320mm berkembar dengan angkup empat piston dan brek belakang cakera 260mm dengan angkup satu piston dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Leoncino 500 menggunakan tayar Pirelli Angel 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang untuk memberikan prestasi dan keselesaan ketika menunggang. Berat keseluruhan Leoncino ialah 196kg dengan tangki minyak berkapasiti 12.7 liter.
Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad memberitahu Leoncino 500 baharu akan mula diedarkan pada pertengahan bulan Julai dan boleh didapati di semua wakil pengedar sah Benelli di seluruh negara.
Leoncino didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).