Motosikal

AKIBAT TERDESAK, GOLONGAN B40 DI PULAU PINANG TERPAKSA JUAL ATAU PAJAK GERAN MOTOSIKAL

Akibat kesempitan hidup, golongan B40 terutama pekerja kilang yang diberhentikan kerja dan peniaga yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 di Pulau Pinang dikatakan sanggup menjual motosikal milik mereka termasuk yang baharu dibeli dua bulan lalu.

Malah, ada antara mereka yang terpaksa memajak geran motosikal untuk tempoh enam hingga setahun dengan kadar faedah yang ditetapkan pemilik premis kurang daripada 10 peratus.

Pemilik motosikal dikatakan sanggup berbuat demikian untuk menggunakan wang bagi membeli barangan keperluan rumah, membayar hutang dan menampung kehidupan selepas diberhentikan kerja akibat pandemik.

Seorang kerani jualan sebuah kedai motosikal, Hana Ahmad, 30, memberitahu pihaknya menerima sebanyak 60 peratus penjualan semula motosikal. Kebanyakannya daripada model Honda EX5, Honda Wave, Modenas, Yamaha 135LC, 125Z dan Lagenda sejak Mei tahun lalu.

Majoriti pelanggan terdiri dalam kalangan mereka yang sudah berumah tangga, termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Boleh dikatakan setiap hari mereka datang ke kedai untuk menolak atau menjual semula motosikal. Ada juga mahu menjual semula motosikal yang tidak sampai setahun dibeli termasuklah model Yamaha Y15 dan Yamaha Legenda baharu.

“Ada yang kami tolak untuk membelinya semula kerana perniagaan turut terjejas akibat pandemik Covid-19. Tidak kurang juga yang merayu supaya kami membelinya biarpun pada harga serendah kurang RM1,000.

“Tetapi, sebahagian besarnya kami akan membeli semula pada harga RM3,000 ke bawah, bergantung pada keadaan dan jenis motor tersebut,” katanya kepada Kosmo!.

Jelas Hana, dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada pemilik motosikal turut mencagarkan geran motosikal milik mereka.

“Mereka dikatakan terpaksa berbuat demikian disebabkan terlalu terdesak dan sayangkan motosikal yang dibeli secara tunai sejak enam bulan lalu menggunakan duit titik peluh bekerja sebagai operator kilang.

“Kami mampu membayar wang cagaran kepada mereka serendah RM2,000 ke bawah, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai membaiki motosikal, Hirman Ahmad, 40, memberitahu, dianggarkan seramai 60 individu datang ke kedainya untuk menjual semula motosikal terpakai sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tahun lalu.

“Saya terpaksa menolak untuk membeli semula motosikal tersebut disebabkan perniagaan saya juga turut terjejas ekoran perlaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu,” jelasnya. – Kosmo! Online

Google ads
Back to top button