Artikel Pilihan

BODO CHRONOS. KERETA ELEKTRIK CHINA, 10HP, TOP SPEED 65KM/J, ADA DIJUAL DI EROPAH. HARGA RM60K!

Di pasaran China, ada satu segmen kenderaan yang dikenali sebagai Low Speed Electric Vehicle (LSVE) dan kereta elektrik mikro itu cukup popular di sana sebagai mode pemanduan jarak dekat.  

Tidak boleh digunakan di banyak negara termasuk di Malaysia, LSVE biasanya dihasilkan oleh pengeluar kenderaan kecil-kecilan di sana. Jadi, tidak hairanlah jika aspek keselamatan, reka bentuk dan teknologi tidak dititikberatkan langsung. Senang cakap, asal boleh jalan, on..

Jika anda masih ingat, sebelum ini kecoh pasal sebuah kereta elektrik Mini EV X2 di media sosial yang ditawarkan pada harga murah. Tetapi itu bukanlah satu-satunya LSVE dari China.

Antara yang menarik perhatian ramai ialah jentera dikenali sebagai Bodo Chronus. Walaupun namanya menggelikan hati, jangan tak tahu yang ia telah pun dieksport ke pasaran Eropah menerusi Cyprus, Bulgaria, Malta dan Greece. Peh, biar betik?   

Sebabnya, pengeluar Bodo Chronus yang berpangkalan di Anhui, China ini sebenarnya pandai juga. Mereka menawarkan model dengan pemanduan sebelah kanan (RHD), selain mendapat kelulusan (Type Approval) daripada EEC yang membolehkannya dijual di sana.  

Beribu pejabat di Malta, kereta berkenaan dibawa masuk ke United Kingdom, Jerman dan banyak lagi.

Mungkin boleh dikategorikan dalam segmen A, saiz Bodo Chronus sebenarnya lebih kecil berbanding Perodua Axia. Berat pula hanya sekitar 769kg, 81kg lebih ringan daripada Axia.

Kereta yang nampak cacat itu menggunakan motor elektrik 7.5 kW. Prestasinya? Hanya 10hp dengan kelajuan maksimum 65km/j sahaja. Memang lembab nak mati lah.

Menggunakan bateri Lithium Lipo4 10.8 kW/j 12V, Bodo Chronus boleh bergerak sejauh 120 hingga 150km  dengan sekali caj penuh. Tempoh mengecaj menggunakan pengecaj 220V pula bukan main lama, paling kurang 8 hingga 10 jam.

Sebagai sebuah kereta yang lengkap, ia dipasang dengan sistem pendingin hawa, tempat duduk dibalut fabrik atau kulit, cermin tingkap kuasa, radio, sensor parkir dan kamera undur.

Di China, pelanggan tidak memerlukan lesen untuk memandu kereta seperti ini.

Pelanggan boleh membeli Bodo Chronus dari laman web Alibaba pada harga bermula AS$8,000 (RM34,813) jika ditempah sebanyak 2 hingga 8 unit. Kalau beli lebih 9 unit, harganya turun kepada  $7,000 (RM30,461) sebuah.

Itu harga di China. Jika anda tinggal di Eropah dan mahu membelinya, harga sebuah kereta Bodo ini ialah €12,900 (RM61,000). Memang tidak murah juga lah.  

GALERI

Google ads
Back to top button