KERETA REKAAN KONSEP ‘PAYUNG’ DINOBAT SEBAGAI JUARA ASIAN COMPACT SEDAN DESIGN CHALLENGE 2023
Pertandingan reka bentuk kereta, “Asian Compact Sedan Design Challenge 2023” (ACSDC 2023) akhirnya melabuh tirai, menyaksikan Kenny Chan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara pertandingan ACSDC 2023 dengan kereta rekaannya yang berkonsepkan “Payung” bagi kategori profesional.
ACSDC 2023 yang pertama kali diadakan di Malaysia telah menyaksikan 93 penyertaan dari 7 buah negara bagi program sulungnya.
Sebanyak 93 penyertaan yang diterima adalah dari Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, Jepun, India dan Malaysia.
ACSDC 2023 ialah pertandingan reka bentuk kereta sedan, terbuka kepada pereka profesional dan pelajar rekaan di Asia yang dianjurkan bersama Perodua serta Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).
“Jumlah penyertaan dari negara-negara lain di dalam Asia adalah menggalakkan kerana pendedahan terhadap jenama Perodua dan MRM di luar Malaysia adalah terhad,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Selain kategori profesional, dimenangi oleh Kenny Chan dari Malaysia, tempat kedua pula digenggam oleh Philip Samuel Tandio dari Indonesia sementara, Muhammad Izhar Che Shukarno berada di tempat ketiga dengan konsep “Fastback”.
Bagi kategori pelajar rekaan, Bryan Teh Yea Quan dari Universiti Asia Pasifik (APU), Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan tafsiran uniknya tentang sebuah sedan yang ‘sporty’.
Manakala Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Malaysia sebagai naib juara dan Muhammad Amin Othman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia berada di tempat ketiga.
Menurut ketua juri, Muhamad Zamuren Musa, reka bentuk kereta yang dinamik dengan siluet ala ‘fastback’ dan karakter badan kenderaan serta stabil menjadikan kereta tersebut lebih seimbang.
Selain itu, perincian yang ketara serta elemen gaya kreatif menjadi faktor lain, sekaligus kereta itu dipilih sebagai rekaan terbaik di kalangan semua peserta.
“Bagi Perodua, pertandingan ini memberikan gambaran mengenai sedan kerana definisi dan persepsi kenderaan jenis itu adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain.
“Rakyat Malaysia melihatnya sebagai kenderaan yang praktikal manakala negara lain mungkin melihatnya lebih sebagai simbol status,” kata Dato’ Sri Zainal.
“Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan pereka untuk menguji bakat mereka tetapi juga mendedahkan mereka kepada falsafah reka bentuk berbeza dari negara lain di dunia,” kata Pengarah MRM, Husaini Ismail.
- BACA: TOYOTA PRIUS GENERASI BAHARU TAMPIL REKA BENTUK LEBIH PADU, 220HP, PHEV
- BACA: NISSAN DEDAH EV KONSEP – HYPER URBAN CONCEPT TAMPIL TEKNOLOGI BAHARU, REKA BENTUK AGRESIF
- BACA: LUCID GUNA MONITOR SAMSUNG 225-INCI ‘THE WALL’ – REKA BENTUK MODEL BAHARU LEBIH MUDAH
- BACA: KETUA REKA BENTUK MIMOS DEDAH LAKARAN DIGITAL PERODUA KANCIL EV