Artikel Pilihan

ALKISAH EVOLUSI HYUNDAI i20 WRC – BAHAGIAN TERAKHIR

Itu hari BK ada menulis tentang evolusi jentera lumba i20 WRC. Tapi tak sempat nak habiskan dalam satu artikel disebabkan panjang sangat nak menulis dalam satu artikel. Maka, marilah sambung ke bahagian terakhir tentang Evolusi Hyundai i20 WRC ini.

Hyundai i20 Coupe WRC 2017

Untuk yang tidak tahu, ini adalah model ketiga yang dibangun baharu sepenuhnya walaupun baru memasuki musim keempat demi memenuhi keperluan dan peraturan yang diperkenalkan oleh FIA ketika itu. Berbanding rekaan terdahulu dengan lima pintu, kali ini versi Coupe dengan tiga pintu digunakan sebagai jentera rali. Baru nampak sporty.

Beberapa perubahan mekanikal turut diperkenalkan termasuklah penggunaan turbo yang lebih besar serta peningkatan kuasa yang kuasa daripada 300 HP kepada 380 HP. Dan prestasi keseluruhan jentera ini dianggap lebih baik apabila empat kali menjuarai perlumbaan rali dan beberapa siri kemenangan podium melalui Thierry Neuville, Dani Sordo dan juga Hayden Paddon. Kedudukan kedua keseluruhan bagi kategori Pembuat dan juga Naib Juara WRC masih lagi dalam genggaman jenama Hyundai ini.

Hyundai i20 Coupe WRC 2018

Memandangkan tiada perubahan besar terhadap undang – undang, maka kebanyakan tetapan untuk jentera rali daripada musim 2017 masih lagi dikekalkan. Begitu juga dengan rekaan grafik yang kelihatan seakan sama dari musim ke musim. Terlalu sedikit perubahan yang ditampilkan.

Namun pasukan Hyundai memutuskan untuk merubah tetapan terhadap permukaan tarmac, yang menjadi perbezaan ketara prestasi jentera diantara Hyundai dan pesaing. Hasilnya? Thierry Neuville sekali lagi masih muncul Naib Juara WRC dan pasukan Hyundai kekal Naib Juara kategori Pembuat.

Hyundai i20 Coupe WRC 2019

Musim keenam pembabitan Hyundai serta musim ketiga penggunaan jentera Coupe ini dalam kempen WRC. Sudah tentu segala penambahbaikan telah dilakukan terhadap jentera WRC ini. Prestasi jentera ini telah dipertingkatkan untuk tetapan bagi gravel & tarmac. Hasilnya, kemenangan berjaya diperolehi di Argentina & Sardinia (gravel), Corsica (tarmac) Sepanyol (gravel & tarmac). Dan segala usaha tersebut berbaloi apabila jentera Hyundai i20 Coupe 2019 ini berjaya menobatkan pasukan Hyundai sebagai Juara kategori Pembuat buat kali pertama.

Hyundai i20 Coupe WRC 2020

Musim ketujuh ini disambut dengan khabar berita di awalnya dengan penyertaan juara WRC 2019 Ott Tanak yang menyertai mereka. Walaupun dunia dilanda pandemik, namun pasukan Hyundai ini kekal handal bersama jentera terus dipertingkatkan dari saban tahun memandangkan tiada sebarang perubahan besar terhadap undang – undang penyertaan. Dan sekali lagi prestasi jentera ini untuk setiap permukaan termasuklah yang bersalji juga tidak menghampakan. Dan sekali lagi buat tahun kedua berturut pasukan Hyundai mengungguli tahta WRC kategori Pembuat.

BACA : ALKISAH EVOLUSI HYUNDAI i20 WRC

BACA : WRC 2021 – TOYOTA DAN HYUNDAI MULA MENAYANGKAN REKAAN GRAFIK BAHARU

Google ads

B K

Back to top button