
AOS2026: ROYAL ENFIELD OBSIDIAN SERLAH SENTUHAN PA’ADIN MUSA
Art of Speed 2026 mungkin merekodkan pelbagai pencapaian pada edisi kali ini dan pastinya antara yang mencuri tumpuan adalah debut sulung Royal Enfield Obsidian, sebuah motosikal kustom yang dibangunkan khas custom builder terkemuka, Pa’adin Musa.

Pertama kali dipertontonkan kepada umum, Royal Enfield Obsidian merupakan sebuah chopper kustom yang dibina khas oleh Pa’din Musa bersama Abah & Sons Vintage Choppers menerusi program Royal Enfield Custom World.
Obsidian merupakan projek istimewa yang mempamerkan bagaimana sebuah Royal Enfield Super Meteor 650 boleh diubah menjadi sebuah chopper klasik yang bukan sekadar cantik dipandang, tapi kekal praktikal sebagai motosikal untuk tunggangan jarak jauh.
Tidak seperti kebanyakan motosikal kustom yang lebih mengutamakan penampilan, Obsidian dibangunkan dengan falsafah yang cukup jelas iaitu ringkas, tirus, tahan lasak dan mudah diselenggara.

Ini menjadikannya sebuah motosikal yang direka untuk pengembaraan jarak jauh tanpa mengorbankan identiti chopper tradisional.
Menggerakan Obsidian adalah enjin 649cc parallel-twin dari Super Meteor 650 yang terkenal dengan karakter tork yang lancar serta kebolehpercayaan tinggi. Meskipun begitu, hampir keseluruhan komponen lain direka dan dihasilkan sendiri oleh Pa’adin.
Antara ciri utama yang menyumbang kepada rupa chopper ikonik adalah penggunaan rim 21-inci di hadapan dan 18-inci di belakang. Sementara itu, motosikal ini turut dilengkapi sistem twin-carburettor, klac kaki (foot clutch) serta tuil penukaran gear jenis hand-operated jockey shifter – konfigurasi yang sukar ditemui pada motosikal moden.
Bahagian belakang pula menempatkan custom sissy bar yang bukan sekadar aksesori kosmetik tapi direka cukup kukuh untuk membawa beg tambahan, sesuai dengan konsep motosikal kembara.






