,
Buletin

PADA 2002 SUBARU IMPREZA TYPE EURO DIPERKENAL, DIREKA BERSAMA PORSCHE DESIGN

Ada dua perkara yang tidak boleh diasingkan mengenai Subaru Impreza. Bonet dengan corong udara untuk intercooler dan gaya badan wagon. 

Impreza juga mempunyai pelbagai jenis varian seperti WRX, WRX STi dan dibahagikan pula kepada jenis seperti Type RA, Type C dan sebagainya.

Di sebalik kepelbagaian itu ada sebuah edisi yang tidak kurang hebatnya iaitu Subaru Impreza Sports Wagon TYPE EURO. 

Model ini dilengkapi komponen luaran yang dibangun secara bersama FHI (Fuji Heavy Industries) dan direka oleh Porsche Design. Hebat bukan?

Hebahan mengenai Impreza Sports Wagon TYPE EURO dibuat pada 21 Januari 2002 dan kereta diserahkan kepada pengedar Subaru di Jepun bermula 20 Februari 2002.

Model ini asalnya daripada Impreza Sport Wagon TYPE EURO yang dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Tokyo ke-35 pada 2001. 

Dari luar memang jelas keunikan pada Impreza Wagon generasi kedua (GD) ini, kit badannya memang berbeza dengan sentuhan asal Subaru.

Kit badan TYPE EURO merangkumi bampar depan belakang, gril depan, spoiler bumbung dan model turbo dilengkapi roda aluminium 17 inci.

Satu lagi ciri penting yang harus diketahui ialah tawaran enjin. Adalah perkara biasa untuk dilengkapi enjin 2.0L turbo namun ada dua lagi pilihan iaitu 2.0L DOHC dan 1.5L SOHC aspirasi normal.

Iya, enjin tanpa turbo pun ada. Pengguna diberi tiga pilihan iaitu TYPE EURO 15, TYPE EURO 20 dan TYPE EURO TURBO. 

Kedua-dua enjin 2.0L dipadan dengan transmisi manual lima kelajuan dan Sports shift automatik E-4AT. Enjin 1.5L pula menggunakan transmisi tunggal automatik E-4AT.

Selain kit badan, wagon ini dilengkapi lampu HID beam rendah, logo belakang eksklusif, cermin belakang gelap, bonet aluminium dan ABS empat sensor dan empat hala (channel).

Subaru mensasarkan untuk menjual 100 unit TYPE EURO sebulan dan berikut ialah harga yang disyorkan pengeluar untuk kawasan Tokyo, Nagoya dan Osaka.

  • TYPE EURO 15: 2,028,000 yen
  • TYPE EURO 20: 2,233,000 yen (MT), 2,356,000 yen (AT)
  • TYPE EURO TURBO: 2,663,000 yen (MT), 2,816,000 yen (AT)

Berkenaan warna, hanya ada dua iaitu Premium Silver Metallic dan
Midnight Black Mica. 

Andaikata ditemukan dengan kit badan atau half-cut model ini di kedai potong elok diberi perhatian kerana ia mempunyai sentuhan Porsche Design!

BACA: PADA 2010 SUBARU IMPREZA WRX STI SPEC C DIPERKENAL DI JEPUN

BACA: SUBARU LEVORG 2020 CUN MELECUN, DIJUAL TAHUN INI

BACA: SUBARU UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA ENJIN LEJEN EJ20

Kredit: Subaru

Tags
Google ads
Back to top button