Buletin

SUBARU LEVORG 2020, WAGON + TURBO = KERETA IDAMAN!

Di pasaran tempatan, kereta penumpang jenis wagon mempunyai peminat tersendiri namun jumlah di atas jalan raya tidak begitu signifikan.

Di antara punca kepada senario itu ialah kekurangan model yang kena dengan citarasa seperti jenama dan harga. 

Walaupun begitu ia tidak menghalang minat tambahan pula pengeluar kenderaan sentiasa konsisten dalam menawarkan wagon sebagai alternatif kepada sedan.

Satu dari jenama yang sentiasa menawarkan wagon ialah Subaru dan bukan setakat di atas jalan raya, Impreza wagon misalnya biasa digunakan di dalam perlumbaan rali.

Penglibatan tersebut menambah lagi kecintaan kepada wagon.

Subaru sudah lama tidak menawarkan Impreza wagon dan tradisi segmen itu ditugaskan kepada Levorg yang menawan.

Levorg generasi pertama dikeluarkan pada 2014 dan walaupun sudah bertahun masih kelihatan menarik. 

Dengan itu Subaru menggunakan formula gayaan yang sama, Levorg generasi kedua yang dilancarkan nampak tidak jauh berbeza dan kekal menawan.

Setelah tiga kali tampil dengan model konsep dan prototaip sejak 2018 termasuk versi STI, Subaru akhirnya membuka pra tempahan untuk pelanggan di Jepun bermula 20 Ogos 2020.

Levorg baharu membawakan tema gayaan Dynamic x Solid dan secara keseluruhannya tampil menyerlah dan kemas.

Pada bahagian dalaman, model baharu mengekalkan gayaan asas papan pemuka model sebelum dengan beberapa perubahan seperti corong penyaman udara melintang.

Paling menonjol ialah skrin sentuh 11.6 inci yang mendominasi papan pemuka dan sesuai dengan trend semasa.

Dari segi rangkaian kuasa, Levorg baharu digerakkan enjin 1.8 liter Boxer turbo (CB18) DIT berkuasa 177 ps dengan tork 300 Nm.

Enjin itu dipadan bersama transmisi CVT Lineartronic yang memacu pacuan semua roda (Symmetrical All-Wheel Drive).

Levorg baharu bukan setakat membawa karakter prestasi tetapi juga menawarkan beberapa ciri canggih yang dirangkumkan di dalam teknologi EyeSight X.

Di antaranya ialah bantuan kesesakan jalan raya, kawalan kelajuan aktif dan bantuan penukaran susur aktif.

Ciri tersebut tambahan kepada teknologi seperti brek pra pelanggaran, penyekatan tersalah tekan pedal minyak, kawalan jelajah aktif dan amaran lencongan, amaran trafik lintas belakang, lampu puncak suai dan sistem pengawasan pemandu. 

Satu ciri keselamatan menarik pada Levorg ialah beg keselamatan di luar kenderaan iaitu bahagian atas bonet bagi melindungi pejalan kaki apabila berlaku kemalangan.

Subaru menawarkan sejumlah varian Levorg di Jepun seperti GT, GT EX, GT H, GT-H EX dan untuk pengguna yang mahukan sesuatu lebih sporti ditawarkan Levorg STI Sport dan STI Sport EX.

Google ads
Back to top button