PKP – LATIHAN PRA-MUSIM MOTOGP DAN SEPANG SHAKEDOWN 2021 DI SIC BATAL
Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di beberapa buah negeri di Malaysia, pihak FIM, IRTA dan Dorna mengumumkan latihan pra-musim MotoGP dan Sepang Shakedown 2021 dibatalkan.
Latihan itu merupakan acara MotoGP pertama di luar Eropah sejak Februari tahun lalu dan memerlukan kebenaran khas daripada kerajaan Malaysia.
Situasi dilihat tiada masalah sehinggalah kes jangkitan COVID-19 terus meningkat, membuatkan kerajaan terpaksa melaksanakan PKP bermula 13 hingga 26 Januari 2020.
“Pandemik COVID-19 yang masih berlaku dan pelaksanaan PKP menyebabkan kedua-dua acara yang bakal diadakan di Litar Sepang terpaksa dibatalkan.
“Ujian di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 10 hingga 12 Mac setakat ini diteruskan, namun akan disahkan nanti,” jelas Dorna dalam satu kenyataan.
Ujian rasmi di Sepang sepatutnya menyaksikan debut Valentino Rossi untuk pasukan Petronas SRT dan Cal Crutchlow menjadi penunggang ujian bagi pasaran Yamaha.