Buletin

VW GOLF GTI Mk8 – REKA BENTUK EVOLUSI, TEKNOLOGI CANGGIH

Volkswagen United Kingdom mengumumkan harga permulaan Golf GTI generasi kelapan (Mk8) iaitu dari £33,460 (RM177,892) bagi varian enam kelajuan manual dan £34,960 (RM185,867) untuk tujuh kelajuan DSG.

Golf GTI tampil kemas dan segar dengan membawa evolusi reka bentuk generasi terdahulu.

Walaupun dengan perubahan imej yang tidak ketara, naik taraf terbesar ialah pada teknologi canggih seperti sambungan (connectivity), interaksi digital dan sistem bantuan pemandu.

Golf GTI digerakkan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 245 PS dan tork 370 Nm. Varian DSG mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.2 saat. Kelajuan maksimum untuk kedua-dua jenis transmisi ialah 249 km/j.

Dari segi reka bentuk, bahagian depan Golf GTI menerima jaluran gril bercahaya selain lampu kabus LED yang ditempatkan pada gril bercorak sarang lebah.

Lampu utama yang digunakan canggih dengan teknologi IQ.Light LED matrix. 

Bahagian tepi Golf GTI seperti biasa tidak mempunyai drama kecuali reka bentuk roda aloi Richmond saiz 18 inci.

Belakang juga sama, tiada elemen dramatik dan pengguna dihidangkan dengan muncung ekzos krom pada kedua-dua sisi kereta.

Cuma yang menonjol ialah lampu belakang LED gelap (smoked) dengan nyalaan lampu isyarat jenis dinamik.

Di bahagian dalam, kerusi sport Golf GTI menggunakan fabrik dengan corak berkotak baharu Jacara.

Stereng sport dibalut dengan kulit dan mempunyai fungsi pemanas dan turut disediakan ialah padel penukar gear untuk varian DSG.

Tombol gear mempunyai kemasan aluminium manakala papan pemuka dan panel pintu Black Metal Chrome membawa imej sleek pada bahagian dalaman.

Lagi ciri-ciri Golf GTI UK ialah kemasukan tanpa kunci, sistem mula/henti, kawalan suhu 3Zone dan pelbagai kelengkapan standard.

Sistem bantuan pemanduan kereta merangkumi bantuan penukaran susur, Bantuan Perjalanan dengan Bantuan Tepi Jalan Raya (Travel Assist with Side Assist) dan Bantuan Kecemasan.

Untuk membantu dalam pengendalian lebih jitu dan bagus, VW menggunakan locking differential depan yang baharu dan sistem Pengurusan Dinamik Kenderaan.

Sistem Pengurusan Dinamik Kenderaan berfungsi dengan mengawal komponen seperti pembeza elektronik (electronic differential) XDS, pengunci pembeza (locking differential) baharu dan pilihan suspensi jenis suai (adaptive damper).

Hasilnya ialah sebuah hatchback berprestasi dengan keseimbangan ketara di antara dinamika pemanduan maksimum dan keselesaan pada tahap tinggi.

Satu lagi perkara menarik ialah kelibat Golf GTI Mk8 tanpa penyamaran sudah ditemui di jalan raya tempatan.

Kami tidak dapat memastikan tujuan ia dibawa ke sini. Jika mahu dilancar di pasaran tempatan ia satu perkembangan menarik memandangkan model ini baru sahaja diperkenalkan di peringkat antarabangsa pada Mac 2020. 

BACA: VW GOLF DIESEL (GTD) PUN OKAY, GAYA IRAS GOLF GTI!

BACA: VW GOLF GTE SAMA KUAT DENGAN GOLF GTI!

BACA: EA113L, ENJIN MODEN PALING BERPENGARUH DALAM SEJARAH VOLKSWAGEN

Google ads
Back to top button