Artikel Pilihan

PELUMBA KERETA HANDALAN KELAHIRAN FINLAND

Di dalam dunia perlumbaan kereta tidak ada sesiapa pun yang mampu menyangkal bahawa negara Finland merupakan sebuah negara yang banyak melahirkan pelumba-pelumba hebat. Baik dalam dunia rali mahupun perlumbaan F1. Kesempatan yang ada ini Brader Karrager ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang beberapa nama pelumba dari negara beriklim peti sejuk ini.

BACA : SEBELUM KEDATANGAN LANCER EVO, INI ADALAH LAGENDA RALI SEBENAR- MITSUBISHI GALANT VR4

BACA : NICO ROSBERG RAKAM SELFIE TERAKHIR DALAM JENTERA MERCEDES F1 W07 SEBELUM BERSARA

Tommi Mäkinen
Siapa yang tidak kenal dengan jaguh rali ini? Juara dunia WRC sebanyak empat kali dengan jentera yang cukup ikonik, Mitsubishi Lancer Evolution. Beliau diangkat antara pelumba terbaik dalam sejarah moden dunia rali. Lagenda orang kata. Beliau kini merupakan Ketua bagi pasukan Toyota Gazoo Racing WRC, juga berpusat di Finland. Barisan pelumba mereka juga terdiri daripada anak jati Finland, Jari-Matti Latvala, Juho Hänninen dan Esapekka Lappi.

Mika Häkkinen
Dalam dunia F1 pula, pasti ramai yang setuju bahawa nama Mika Häkkinen yang sinonim dengan pasukan McLaren adalah antara sang lagenda. Juara dunia dua kali berturut musim 1998-1999 cukup untuk membuktikan kejaguhan beliau. Setelah bersara dari F1, Mika turut bersaing dalam beberapa kejuaraan DTM selama beberapa tahun sebelum bersara sepenuhnya pada 2008 dan kini aktif dalam dunia pengurusan permotoran selain daripada bertindak sebagai Duta kepada Mercedes-Benz AMG.

Keke Rosberg
Beliau adalah juara F1 pertama dari Finland pada 1982 dengan mewakili pasukan TAG Williams dan seterusnya menjadi pelopor kepada kelahiran pelumba handalan Finland. Beliau tidak bersara sepenuhnya dalam arena perlumbaan. Malah terus memikul tugas sebagai Pengurus bagi bakat baharu dalam dunia perlumbaan termasuklah dengan menjadi Pengurus kepada anak beliau sendiri pada 2006, yang kemudiannya menjadi juara dunia F1 pada 2016, Nico Rosberg. Maaf, Nico Rosberg tidak berada dalam senarai ini kerana beliau telah memilik kerakyatan Jerman, setelah dilahirkan di sana oleh ibunya juga seorang warganegara Jerman.

Sungguhpun belum bergelar juara dunia, tetapi dalam dunia F1, masih terdapat beberapa nama yang boleh diketengahkan yang mungkin berpotensi jika kena dengan jenteranya. Pelumba Valtteri Bottas dalam tempoh setahun dua mungkin mampu bergelar juara dunia. Oh ya, pelumba yang turut berpangkat Koperal di Finland (undang-undang Finland mewajibkan warganegara LELAKI SAHAJA wajib menyertai angkatan bersenjata di sana. Yang acah-acah Lelaki jangan nak sibuk pakai bengkung bagai) turut pernah meraih kejuaraan dalam GP3 serta Formula Renault di awal kemunculannya dalam dunia perlumbaan satu tempat duduk.

Itu belum lagi Brader masukkan nama Kimi Räikkönen serta Heikki Kovalainen dalam dunia F1. Nama Mika Salo pun ada juga, itupun kalau anda masih ingat siapakah gerangan. Manakala dalam dunia rali, senarai penuh pelumba Finland juga masih banyak untuk disebut. Antaranya bekas juara WRC dua kali, Marcus Grönholm yang memandu Peugeot 206 WRC. Kalau nak senaraikan semua mahu habis kuota patah perkataan untuk Brader menulis. Jadi, lebih baik Brader berhenti setakat ini dulu. Ada masa, Brader cuba menulis kisah pelumba rali pula.

Sumber Gambar : Newspress

Google ads

B K

Back to top button