
ASTON MARTIN V12 VANTAGE – MODEL V12 TERAKHIR, 333 UNIT, SEMUA SOLD OUT!
Enjin bentangan V12 kian menghampiri penghujung hayat, dan sebagai meraikan ‘khidmat’ nadi tersebut, Aston Martin melancarkan sebuah model berprestasi tinggi edisi terhad V12 Vantage yang juga merupakan model Vantage yang paling pantas pernah dihasilkan.
Dari segi kuasa, enjin 5.2 liter turbo berkembar V12 itu berupaya menghasilkan 690 hp dan 753 Nm, atau 187 hp/68 Nm lebih berkuasa berbanding V8 Vantage.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 322 km/j.

Tidak cukup dengan itu, V12 Vantage turut membawakan pakej penjimatan berat badan bagi mencapai nisbah kuasa-kepada-berat 385 hp per tan, atau 20 peratus lebih tinggi berbanding model standard.
Penggunaan bahan ringan gentian karbon itu boleh didapati pada bahagian hud enjin, bampar depan, fender depan, dan juga side sills.
Selain bateri yang juga lebih ringan, V12 Vantage didatangkan dengan sistem ekzos tengah yang diperbuat daripada bahan keluli tahan karat yang lebih ringan 7.2 kg berbanding model Vantage standard.

Sistem transmisi adalah jenis automatik ZF lapan nisbah kelajuan yang telah dikalibrasi semula untuk peningkatan tahap respons enjin.
Selain itu, perubahan yang lain dibawakan seperti berikut:
-sistem suspensi adaptif untuk pengendalian yang lebih cemerlang
-spring yang lebih keras 50 peratus depan, 40 peratus di belakang
-bar anti oleng
-tahap ketegaran badan turut dipertingkatkan
-sistem stereng yang telah ditala semula
-sistem brek seramik karbon dengan penjimatan berat 23 kg
Sebagai sebuah model pantas, Aston Martin V12 Vantage didatangkan dengan sistem aerodinamik yang mampu menjana daya turun 204 kg pada kelajuan maksimum.
Untuk makluman, hanya 333 unit V12 Vantage sahaja yang akan diproduksikan, dan kesemua unit telah pun habis dijual dengan senarai menunggu yang agak panjang.











