Buletin

FORD BAKAL BANGUNKAN EV KEDUA GUNA PLATFORM MEB VW. SASAR BIKIN 1.2 JUTA EV DALAM TEMPOH 6 TAHUN

Pada Julai 2019, Ford dan Volkswagen (VW) mengumumkan kerjasama dalam membangunkan kenderaan elektrik (EV) dengan menggunakan platform MEB VW.

Kerjasama berkenaan menyaksikan kemunculan model crossover sifar emisi dibangunkan di Cologne, Jerman yang membuat debut pada tahun hadapan.  

Terbaharu, dua gergasi pengeluar kenderaan itu mengesahkan bakal membangunkan sebuah lagi model EV berdasarkan platform MEB VW.

Ford dalam pengumuman strategi elektrifikasi di Eropah memaklumkan akan memperkenalkan tiga jentera elektrik baharu sehingga tahun 2024.

Model pertama merupakan crossover saiz sederhana yang dijangka melakukan debut pada tahun ini dan pelancaran pasaran dijadualkan pada tahun hadapan.

Ia kemungkinan besar merupakan versi Ford bagi model Volkswagen ID.4.

Ford dijangka akan melancarkan sebuah lagi crossover yang dijana kuasa bateri setahun selepas pelancaran crossover pertama.

Model yang dikatakan sebagai Crossover Sport itu akan dipasang di kilang Cologne.

EV ketiga Ford pula sedang dalam proses pembikinan merupakan model Puma versi elektrik yang akan memasuki produksi di kilang Craiova, Romania pada tahun 2024 nanti.

Melalui perjanjian yang diperbaharui antara kedua pengeluaran kenderaan itu, Ford menetapkan sasaran menggandakan jumlah perancangan EV berasaskan MEB kepada 1.2 juta unit dalam tempoh enam tahun.

Sebelum ini, Ford menyasarkan menjual kira-kira 600,000 EV berdasarkan platform VW terbabit. –motor1

Google ads
Back to top button