
AUDI LANCAR E-TRON GT SERBA CANGGIH DAN MEWAH, GUNA TEKNOLOGI TAYCAN. HARGA BERMULA RM489,175
Audi baharu sahaja mendedahkan sedan berprestasi tinggi empat pintu dalam rangkaian model kenderaan elektrik mereka yang menggunakan teknologi pembangunan jentera elektrik pertama Porsche, Taycan.
Model dikenali sebagai Audi e-tron GT menampilkan rekaan agak berbeza berbanding model-model Audi sebelum ini bakal memberi persaingan kepada hierarki jentera mewah seperti Tesla Model S dan Porsche Taycan.
Audi e-tron GT dilengkapi teknologi terkini dibangunkan melalui platform J1 Performance Platform yang direka oleh Porsche didatangkan dengan dua varian iaitu model asas GT Quattro dan model RS.
Model asas Quattro dijual pada harga bermula dari €99,800 (RM489,175) manakala €138,200 (RM677,395) untuk model RS di pasaran Jerman.

Jentera e-tron GT yang mendapat sentuhan rekaan daripada ilham Grand Turismo menampilkan rupa paras sporty dan premium dibangunkan untuk memberi keselesaan kepada pemanduan serta para penumpang.
Audi e-tron GT mempunyai ukuran panjang 4.99 meter, lebar 1.96 meter dan tinggi 1.4 meter dengan jarak antara roda sepanjang 2.90 meter.
Rekaan luaran menampilkan gabungan roda besar, jarak antara roda yang panjang dan jarak antara bumbung agak rendah dalam menyerlahkan sisi sporty jentera elektrik ini.

Audi mendakwa e-tron GT mempunyai kadar pekali seretan terendah di dalam sejarah penghasilan kenderaan Audi dengan nisbah 0.24.
Ciri-ciri tersebut dapat dilakukan dengan air curtains yang berfungsi membantu menyalurkan udara sekitar roda aero di bahagian hadapan.
Selain itu, ia dilengkapi rekaan lantai rata, serta diffuser belakang bagi mengurangkan kesan daya angkat.

Sistem aero yang aktif seperti inlet, spoiler belakang dan dengan bantuan suspensi, ia mampu menambah kira-kira 30 km kepada jarak operasi purata e-tron GT ini.
Di bahagian ruang kargo belakang berkapasiti 405 liter manakala terdapat ruang kargo kedua di bahagian hadapan dengan penambahan 81 liter.

Ruang kabin pula ditawarkan pilihan upholsteri bebas kulit, serta bahan diperbuat daripada botol PET yang dikitar semula.
Posisi tempat duduk menekankan rekaan agar ia kekal rendah dipadankan ruang kaki yang lebih luas untuk memastikan pengalaman seakan sebuah kereta sports.

Kedua model dilengkapi motor berkembar elektrik sepenuhnya dengan transmisi dua kelajuan dalam meningkatkan prestasi.
Selain itu, ia menggabungkan seni bina elektrik 800 Voltan terkini Audi, sistem pengecasan pantas dan sistem pengurusan tenaga haba lebih efektif.
Dengan dilengkapi bateri 86 kWh, jentera terbaharu ini mampu bergerak pada jarak sehingga 488 km.

Model standard e-tron GT Quattro mampu menghasilkan kuasa mencecah 476 hp dan tork 630 Nm, manakala model RS ialah 589 hp dan tork 830 Nm.
Ia boleh memecut pada kadar 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.3 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 255 km/j. -carscoops