Buletin

JUAL HONDA EK9 BANTU BINA SEMULA PUSAT TAHFIZ TERJEJAS BANJIR

Melepaskan sesuatu kita sayangi bukan perkara mudah. Apatah lagi ia merupakan kereta kesayangan, Honda Civic EK9  yang dibeli sejak tahun 2017 lagi.

Pemilik Pasaraya Mempaga Segar, Abdul Rahman Mat Isa,30, baru-baru ini telah membuat hantaran di laman Facebook milik peribadinya ingin menjual kereta terbabit untuk membantu pembinaan semula sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang.

Melalui hantaran tersebut, dia memberitahu  jualan pencen dari dunia kereta.

“Kereta masih cantik seperti dalam gambar. Hasil jualan 100 % akan diberikan kepada Pondok Tahfiz Haji Ahmad,” tulisnya.

Jentera tersebut dibeli pada 2017 dijual pada harga RM76,000 malah hampir keseluruhan telah diubahsuai dengan perbelanjaan yang besar.

Menurut isterinya Farah Balqis Ahmad, 30, sebaik sahaja pembayaran dibuat dan kereta diambil pembeli pada Isnin lalu, Abdul Rahman segera menyerahkan duit jualan kereta itu kepada pihak pusat tahfiz berkenaan.

Tambahnya, pada masa ini suaminya juga sedang giat membantu pembinaan semula pusat tahfiz berkenaan termasuklah menyediakan jengkaut.

“Dia memang sayang sangat kereta itu dan sebelum ini mengatakan walaupun sibuk dan jarang menggunakannya dia tidak mahu menjual kereta tersebut.

“Bagaimanapun, pada malam Ahad lalu tiba-tiba dia memberitahu mahu menjual kereta kesayangannya itu dan sudah mengiklankan dalam Facebook kerana ingin membantu membina semula pusat tahfiz,”katanya.

Dia menjelaskan suaminya sangat gembira dapat membantu pusat tahfiz berkenaan. – Kosmo!/FB

Google ads
Back to top button