
AUTOFLIGHT GEN4, EVTOL (KERETA TERBANG) DENGAN JARAK PALING JAUH SETAKAT INI!
Satu perkara menarik yang boleh diteliti tentang eVTOL (electric Vertical Take Off and Landing) ialah berapa jauh boleh diterbangkan memandangkan ianya digerakkan oleh kuasa bateri.
AutoFlight, sebuah syarikat perintis eVTOL global mengumumkan kejayaan menerbangkan eVTOL paling jauh di dunia dengan jarak 250.3 kilometer menggunakan cas penuh bateri litium-ion.
Penerbangan itu berlangsung di fasiliti ujian eVTOL AutoFlight pada 23 Februari yang merangkumi 20 laluan penerbangan yang ditetapkan lebih awal dengan pesawat dikawal dari darat.

Rekod penerbangan paling jauh untuk eVTOL sebelum ini dipegang Joby Aviation dengan jarak 248 kilometer pada 2021.
eVTOL AutoFlight Prosperity I Gen4 dipasang sistem avionik pihak ketiga bagi merakam dan mengesahkan jarak penerbangan melalui perisian ForeFlight yang digunakan secara meluas di dalam sektor penerbangan.
Rekod itu diiktiraf sebagai penerbangan pesawat 100 peratus elektrik paling jauh di dalam sejarah dengan pelepasan dan pendaratan secara menegak.

Ujian penerbangan jarak jauh ini satu pencapaian penting dalam pembangunan eVTOL Prosperity I bagi mencapai misi syarikat yang mahu mendapatkan ijin layak terbang (airworthiness certification) dari EASA (Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah) pada 2025.
AutoFlight Prosperity I Gen4 direka oleh Frank Stephenson, pereka terkenal yang pernah terlibat dengan jenama ikonik automotif seperti Ferrari, Maserati, McLaren dan MINI.

eVTOL Prosperity menggunakan rotor untuk berlepas ke atas secara menegak dan kemudian beralih kepada penerbangan secara melintang seperti pesawat biasa.
Kelajuan Prospertity boleh mencecah lebih 200 kilometer sejam dengan jarak melebihi 250 kilometer.
BACA: KERETA TERBANG GEELY, AE200 X01 SELESAI LENGKAPKAN UJIAN UDARA, LANCAR 2024
BACA: STELLANTIS LABUR RM658 JUTA HASILKAN PESAWAT ‘MIDNIGHT’ DENGAN ARCHER AVIATION
BACA: ‘KERETA TERBANG’ X2 EVTOL XPENG TERBANG BUAT PERTAMA KALI DI LANGIT DUBAI











