Artikel Pilihan

BALIK RAYA PUNYA CERITA 2019 – RAYA MANA TU?

Saban tahun, inilah kegemaran Brader Karrager. Menulis artikel perihal balik kampung. Menulis dengan bahasa yang mudah untuk difahami dan juga moga diteladani.

1. Sejak akhir – akhir ini acapkali kita mendengar microsleep. Walaupun hanya 1 hingga 30 saat mengalaminya, namun natijahnya cukup besar. Jadinya, silalah mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan jarak jauh. Kalau setakat nak balik kampung dari Gombak menuju ke Hulu Langat tapi nak rehat sampai kena cukup tidur 8 jam bagai elok curah dengan air batu aja kejut bangun.

2. Mentang – mentanglah pandu Alza, habis disumbat segala tok nenek di bahagian belakang. Beg pakaian macamkan nak hantar anak masuk MRSM. Itu belum lagi berbalang – balang biskut Raya. Campur lagi dengan set Beyblade anak lengkap dengan stadium bagai. Ingat, jangan sampai tak nampak langsung cermin di bahagian belakang ya!

3. Sewaktu memulakan perjalanan, bacalah doa moga dipermudahkan perjalanan. Usai berdoa, bolehlah menuju ke Petrol Pam berhampiran rumah untuk memenuhkan tangki. Jangan lupa juga tambah Nilai Touch N Go. Ingat, nak balik kampung musim perayaan sebegini, kesesakan di Petrol Pam berhampiran Plaza Tol adalah sesuatu yang mudah untuk dijangka.

4. Sewaktu mula melepasi lebuhraya, pandulah dengan berhemah dan juga berotak. Jangan jadi macam monyet. Kejap – kejap nak tukar lorong bila tengok barisan di hadapan dah mula sangkut. Ingat, ini musim perayaan. Jem adalah sesuatu yang sangat mudah untuk diramal. Kalau nak elak jem, sebulan sebelum puasa lagi dah balik bercuti di kampung patutnya.

5. Silalah juga pandu dengan jarak yang sepatutnya. Usah diekori terlampau rapat dengan kereta di hadapan. Kejap lagi kawan tu dah tekan brek kecemasan, mulalah nak menggulupur. Lainlah kalau kereta korang tu ada ASA 3.5 ke kan.

6. Walaupun anda memandu Vellfire recond yang pernah eksiden ke tidak entah dengan cukai jalan yang super mahal, namun itu bukanlah lesen untuk menggunakan lorong kecemasan sesuka hati. Tapi kalau dah pandu MPV mewah, setakat kompaun beberapa ratus tu apalah sangat kan. Lainlah kalau kena denda masuk PLKN selama setahun tanpa boleh jenguk anak bini. Amacam?

7. Harus barang diingat, R&R di kala ini dia punya sesak lain macam sikit. Seeloknya bawalah bekal untuk bersahur atau pun berbuka. Tidaklah macam mencuka muka driver letih nak cari parking. Cuma bab nak ke tandas, pandai – pandailah ejas macam mana. Nak bawa botol ke, apa ke.

8. Sampah yang terhasil daripada sesi pemakanan janganlah dibuat perangai syaitan membuang sampah sesuka hati. Ikat dengan kemas dan carilah tong sampah.

9. Untuk yang memandu pulang ke kampung halaman di malam hari, jangan lupa untuk standby lampu suluh. Usahlah diharapkan cerahnya lampu suluh telefon bimbit itu.

10. Sewaktu berhenti mengadapi sesuatu yang tidak diingini, jangan lupa untuk berikan isyarat kecemasan sewajarnya. Kalau perlu gunakan lah Kod Morse. Tidaklah orang belakang menyodok anda di tepi jalan kelak.

11. Lama dahulu, Jalan Merapuh Kuala Lipis boleh tahan popular juga sebagai titik panas lokasi kemalangan. Jadinya, kalau memandu setakat Aruz 1.5 dengan muatan penuh, usah berani di duga bas dua tingkat di hadapan untuk memotong. Tahap keberhatian sehingga 200% mampu menjadi titik pemisah diantara toto Narita di kampung mahupun katil Wad Kecemasan.

12. Bila menghampiri Plaza Tol Sungai Petani Utara misalannya, jangan cuba berlawak dah sampai depan palang baru terhegeh nak cari Smart Tag. Tak kelakar ok. Tak kelakar.

13. Ok, bila dah selamat sampai ke kampuang halaman, barulah rasa lega kan. Mesti seronok. Tapi kita kena ingat. Hari Raya hari yang mulia. Penuh bererti kepada kita. Tua muda miskin dan kaya. Menyambutnya dengan gembira. Berhati – hati di jalanraya. Semoga anda selamat tiba. Ucapan Selamat Hari Raya. Dari EON untuk semua. One more! Ucapan Selamat Hari Raya. Dari EON untuk semua.

BACA : BALIK RAYA PUNYA CERITA 2018

BACA : KELAJUAN NAIK 8KM-J JADI PUNCA KEMALANGAN MENURUT KAJIAN

Google ads
Back to top button