Artikel Pilihan

BALIK RAYA PUNYA CERITA 2021 – ON X ON?

AMARAN : CERITA DI BAWAH INI BARANGKALI TERDAPAT SEBARANG UNSUR UNSUR YANG KURANG SOPAN UNTUK DIBACA OLEH MEREKA YANG DI BAWAH UMUR DAN TERLEBIH UMUR. BIMBINGAN DEWASA DAN AKHLAK YANG TINGGI AMAT DITUNTUT UNTUK SEWAKTU MENERUSKAN CERITA INI.

Zalifah terduduk sandar sambil di hujung sofa sambil mengelap peluh yang mula menitis di dahi. Terasa sedikit penat barangkali, walhal beliau cuma membantu mengangkut dua bungkus Rempeyek sahaja padahal pun dari tingkat atas masuk ke dalam bonet Perodua Ativa yang baharu sahaja dibeli tidak sampai seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadhan tempohari. Kassim, si suami hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihatkan telatah isterinya yang begitu beria mengemas beg pakaian untuk pulang ke kampung berhari raya. Maklumlah, tahun sudah tidak dapat berpeluang untuk pulang ke kampung halaman di Permatang Manggis dek larangan rentas negeri akibat daripada Covid-19 ini.

“Hah, apa lagi yang awak duduk termenung tu Lifah? Anak – anak semua dah masuk dalam kereta”, tegur Kassim setelah melihatkan Zalifah masih lagi duduk termenung. Entah apalah yang difikirkannya lagi. Dengan segera Zalifah mengambil tempat di sebelah pemandu, untuk menemani suami si Kassim memandu di siang hari. Barangkali memandu jauh jauh begini, di tambah dengan sedang berpuasa barangkali mengantuk adalah musuh utama. Maka, Zalifah harus menemani tanpa ada rasa mengantuk.

Seperti biasa, sebelum memasuki Lebuhraya, Kassim terlebih dahulu akan membuat isian penuh RON95 terlebih dahulu di stesen minyak berhampiran. Begitu juga dengan urusan Tambah Nilai kad Touch n Go. Tidaklah nanti berebut nak kena beratur panjang. Masa pula terbuang begitu sahaja.

Cuma Kassim dan Zalifah berasa sedikit hairan dan curiga sewaktu mula memasuki lebuhaya untuk menuju ke utara. Lebuhraya yang dijangka sesak tetapi lengang. Hampir tiada kenderaan langsung. Kelibat bas persiaran yang sepatutnya membawa warga kota pulang beraya juga langsung tidak kelihatan. Walau pun lengang, namun itu bukanlah alasan untuk Kassim memandu sambil lewa, waima kereta buatan Rawang miliknya itu turut dilengkapi dengan sistem ASA 2.0. Memandangkan keadaan Lebuhraya yang lengang, maka sudah semestinya Kassim akan menggunakan sistem Adaptive Cruise Control sepanjang pemanduan. Sambil sambil melayan lagu raya yang berkumandang di corong radio. Terhibur sikit rasanya hati.

“Abang rasa pukul berapa kita akan sampai kampung ya?”, Zalifah cuba memulakan perbualan setelah melihatkan suaminya mula seakan mengantuk.

“Lepas – lepas Asar sampailah kita. Itu pun kalau tak sesak di Tol Juru,” balas Kassim sambil melihatkan jam di tangan.

“Lifah, Abang rasa nak singgah tapau Chapati dengan Susu Lembu Chenderiang tu la. Lama sungguh Abang tak pekena,” tambah Kassim lagi. Yang sebetulnya beliau dah mula mengantuk memandu di Lebuhraya. Jadi kepala otaknya segera memberikan cadangan agar keluar di Tapah untuk menggunakan jalan lama sebentar sebelum menyambung semula perjalanan di Lebuhraya selepas Gopeng. Dan cadangan Kassim segera diiyakan Zalifah. Maklumlah, laki bini penggemar Chapati dan Susu Lembu di Chenderiang.

Setelah beberapa ketika, sampailah mereka di sebuah restoran yang seperti yang dibincangkan. Lega rasa di hati. Bolehlah mereka membungkus buat bekalan berbuka petang nanti. Usai membungkus bekalan, Kassim serasa mengantuk pula. Beliau segera meminta keizinan kepada Zalifah terlebih dahulu, kerana walaupun beras beliau yang beli, namun kereta isteri yang bayar. Begitulah kaedah kehidupan berumahtangga. Beras kita beli, kereta isteri bayar.

Mujur juga Zalifah tidak membantah, memandangkan masih punya waktu lagi, apalah sangat dilelapkan barang 10 minit untuk kesegaran mata sang suami. Setidaknya Kassim masih sedar keupayaan diri apabila berasa mengantuk. Dapatlah mengelakkan daripada kejadian micro sleep.

“Bang..bangun bang. Dah waktu Asar ni. Pergilah solat dulu. Kejap lagi awak tolong pergi kedai Acheh kejap belikan saya kelapa parut nak buat onde onde kesukaan awak tu,” muncul suara si Zalifah mengejutkan lena yang panjang si Kassim

“Eh Eh, beli apa kelapa pulak ni. Kita kan nak balik kampung,” balas Kassim sambil mengesat mata dalam keadaan yang terpisat.

“Hah, tu la. Tidur lagi petang – petang ni. Balik kampung amende awak ni bang oi. Kita kan PKP lagi. Dah la, malas saya nak layan awak. Pergi solat dulu. Lepas tu jangan lupa pergi kedai”

Hmmmmmm. Pilunya hati Kassim. Tapi pilu lagi hati rakyat Malaysia kan.

BACA : BALIK RAYA PUNYA CERITA 2019 – RAYA MANA TU?

BACA : BALIK RAYA PUNYA CERITA 2018

Google ads

B K

Back to top button