
KERETA BARU BELI TAK SAMPAI SEJAM, TENGGELAM DEK BANJIR KILAT
Dalam tempoh kurang daripada sejam, kereta baharu jenis Proton X50 yang dibeli sepasang suami isteri ditenggelami air susulan kejadian banjir kilat di Puchong pada Sabtu.
Menerusi hantaran dimuat naik pengguna Facebook, Azhazul Azri, adiknya yang merupakan jurujual sempat bergambar dengan pemilik kenderaan terbabit pada jam 5 petang, namun kejadian malang berlaku sejam kemudiannya.
“Banjir adalah risiko yang kita tak boleh kawal.
“Masuk mall (pusat beli belah), cuaca panas. Pergi makan, solat, bila keluar kereta dah tenggelam,” katanya.

Sebelum ini, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dilanda banjir kilat setinggi 0.6 meter susulan hujan lebat melanda Lembah Klang menyebabkan ratusan pengguna lebuh raya terkandas.
Di ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata pengguna Facebook meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa pasangan itu.
Memetik komen Affandiey Fandy, orang ramai diingatkan supaya mengambil pelan perlindungan kereta khusus untuk menghadapi bencana alam berikutan cuaca yang tidak menentu di negara ini.
“Fuh seram bang, baru sejam dah kena (tenggelam),” ujar Mohd Ariff Helmi pula. – Sinar Harian