BENELLI TRK552X DIKESAN DI CHINA, GANTI TRK502X – 61HP, 56NM
Benelli bakal menaik taraf motosikal adventure popular TKR502 dengan TRK552 dengan model generasi terbaru itu telah pun dikesan di China.
Berdasarkan namanya, jelas membuktikan antara naik taraf terbesar dilaksanakan adalah suntikan enjin parallel-twin dengan kapasiti yang lebih besar.
Bagaimanapun, platform terbaru itu sudah pun diperkenalkan sebelum ini menerusi beberapa model lain termasuk model ‘sportbike’ Tornado 552R.
Pada masa sama, QJMOTOR yang bersama-sama Benelli di bawah payung Qianjiang turut menawarkan SRK550 dan SRV550 di pasaran global.
Hasilnya, enjin 549cc dua silinder itu menawarkan 61hp dan 56Nm berbanding 46.9hp dan 45Nm yang dihasilkan versi TRK502 sebelum ini.
Menariknya, Benelli masih mengekalkan kerangka sama seperti TRK502 namun dipadankan bersama ‘swingarm’ aluminium baharu menggantikan unit ‘steel tubular’ yang digunakan sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, TRK552 kini dinaik taraf dengan brek J.Juan, fork USD dari Marzocchi boleh laras. Lampu juga dipertingkat dengan pencahayaan LED serta panel meter TFT.
Seperti model terdahulu, TRK552 juga hadir dengan dua varian, TRK552 hadir dengan rim ‘tubeless’ jenis aloi 17-inci sementara TRK552X pula dilengkapi dengan rim lidi (spoked dan tubeless) 19-inci.
Buat masa ini belum ada pengumuman bila model ini akan memasuki pasaran global termasuk di Malaysia. Apa pun, nantikan perkembangan selanjutnya selepas kami bertanyakan sendiri pihak MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama Benelli disini.