Artikel Pilihan

BERBALOIKAH HENDAK BELI KERETA DI SINGAPURA?

Berbicara tentang dunia permotoran di Singapura, ada perkara yang membuatkan kadang kita berasa cemburu. Sungguh pun keluasan (725.1 km2) dan jumlah rakyatnya berganda kurangnya berbanding negara kita namun itu bukanlah alasan untuk rakyatnya tidak menerima model model kenderaan yang baharu dari pelusuk dunia.

Memang hairan dan ajaib. Brader Karrager berikan contoh diantara Hyundai Malaysia dan juga Hyundai Singapura. Dalam katalog kita, hanya terdapat enam pilihan kenderaan sahaja meliputi Elantra, Ioniq, Tucson, Santa Fe, Grand Starex dan juga i30N sahaja. Tapi katalog negara seberang terdapat sehingga 10 buah model termasuklah model terbaharu seperti SUV Kompak Hyundai Venue. Tapi sebenarnya berbaloikah untuk rakyat mereka memiliki kereta sendiri?

Sistem Bas Yang Moden Dan Boleh Diharap

Semasa kecil dahulu sewaktu mula – mula ke Singapura untuk balik kampung (Atuk Brader Karrager menetap di sana) bas dua tingkat adalah benda yang paling mengujakan. Dapat pula duduk kerusi paling hadapan tingkat atas. Fuh! Lain macam dia punya girang. Maklumlah di era 80an, Kuala Lumpur di kala itu dirajai oleh Bas Mini Wilayah sahaja.

Tahukah bahawa di negara keluasannya yang tidak begitu luas itu mempunyai sehingga empat operator bas dengan jumlah keseluruhan bas yang berada di atas jalanraya mencecah sehingga 5,800! Jadi sebenarnya tak ada alasan pun tiba lewat ke pejabat apabila turun dari flat aja dah boleh terus tahan bas.

Sistem Tren MRT / LRT Yang Berselirat

Rakyat Temasek sebenarnya beruntung kerana terlebih dahulu menikmati kemudahan MRT pada November 1987. Rangkaian MRT/LRT mereka kini mempunyai 7 Aliran (2 daripadanya adalah LRT) yang beroperasi menghubungkan seluruh pelusuk bumi Singapura. Jadi isu kelewatan tiba ke pejabat atau hendak keluar berlibur di Pusat Membeli Belah bukanlah isunya lagi.

Isu tren delay pun macam tak berapa nak ada sangat. Nak nak waktu hujan. Ok saja. Kalau tempat kita hujan lebat sikit mulahlah timbul segala masalah.

Caj Parkir

Untuk yang tidak tahu, tiadalah istilah parkir percuma waima di kawasan tempat tinggal sendiri. Siang malam pun kena caj. Nak jimat biasanya kena beli Pas Bulanan yang bernilai $120 (RM359).

Itu belum lagi kena caj tol (ERP – Electronic Road Pricing) yang dikenakan jika memandu masuk ke Pusat Bandar atau melalui lebuhraya. Nak lalu jalan dalam bukan tak boleh tapi lampu isyarat dia punya bersepah jangan cakaplah. Setiao 100 meter jumpa lampu isyarat. Silap hari bulan tiga hari dua malam baru sampai destinasi. Oh ya, jangan fikir di Singapura tidak ada kesesakan lalulintas ya! Sesak dia waktu petang boleh tahan juga.

COE

Isu terbesar untuk bakal pembeli kereta adalah COE – Certificate of Entitlement. Sebelum memiliki kereta, anda harus memiliki COE ini yang mana ianya harus dibida bagi mendapatkannya. Harganya bukanlah jenis ratus ratus. Boleh cecah puluhan ribu juga untuk mendapatkannya untuk tempoh sehingga 10 tahun. Kena standby lebih kurang $30,000++ (RM 89,984) kemudiannya tambahlah dengan harga untuk mendapatkan kereta idaman. Kira macam belanja hangus bayar COE ni.

Jadi sebenarnya berbaloi ke tidak nak beli kereta di Singapura ini? Sistem pengangkutan pun canggih dah. Mudah untuk rakyat. Tapi kalau gaji tujuh lapan ribu barangkali tak ada masalah kot. Tepuk dada tanya slip gaji. Iya tak?

Kredit Foto : FB SMRT

BACA : e-SCOOTER & e-BIKE – SOHOR KINI ANAK MUDA DI SINGAPURA

BACA : KENAPA KERETA DI SINGAPURA MAHAL YA ROBBI

Google ads
Back to top button